Sabtu, 20 Ogos 2016 | 11:32am
BURSA Malaysia dijangka menguji paras ketahanan 1,700 minggu depan mendapat rangsangan daripada kenaikan harga komoditi dan faktor luar yang positif. - Foto hiasan

Bursa Malaysia dijangka uji paras ketahanan 1,700

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka menguji paras ketahanan 1,700 minggu depan mendapat rangsangan daripada kenaikan harga komoditi dan faktor luar yang positif.

Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata penanda aras antarabangsa harga minyak mentah Brent kukuh di atas paras AS$50 setong ketika ini.

"Trend kukuh ini dijangka membawa kesan limpahan terhadap Bursa Malaysia, yang telahpun pulih sebanyak lima peratus dalam tempoh dua bulan lepas.

"Mengenai faktor luaran yang positif, kami tidak menjangkakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah pada September, manakala European Central Bank dan Bank of Japan juga dijangka melonggarkan dasar monetari mereka," katanya kepada Bernama.

Selain itu, kata Nazri, dana-dana asing mula kembali ke Malaysia dengan pegangan asing Sekuriti Kerajaan Malaysia ketika ini berada pada paras tinggi 51 peratus.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI naik 3.53 mata kepada 1,687.68, Indeks FBM Emas meningkat 16.82 mata kepada 11,851.58, Indeks FBMT 100 menokok 25.38 mata kepada 11,554.90 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 22.42 mata kepada 12,496.18.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan meningkat 0.32 mata kepada 14,482.5, Indeks Perusahaan turun 13.95 mata kepada 3,175.12 dan Indeks Perladangan melonjak 160.59 mata kepada 7,862.06.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 13.31 bilion unit bernilai RM9.98 bilion daripada 10.97 bilion unit bernilai RM8.73 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 7.25 bilion saham bernilai RM9.06 bilion daripada 6.59 bilion saham bernilai RM8.34 bilion, sebelumnya.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 3.83 bilion unit bernilai RM446.97 juta daripada 3.01 bilion unit bernilai RM315.38 juta minggu sebelumnya.

Pasaran ACE menambah kepada 2.22 bilion saham bernilai RM463.08 juta daripada 1.36 bilion saham bernilai RM337.22 juta. - BERNAMA

Berita Harian X