Sabtu, 20 Ogos 2016 | 7:19am
PEMAIN Manchester United, Paul Pogba (kiri) bersaing dengan pemain Southampton, Jordy Clasie dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, awal pagi tadi. - Foto Reuters
PEMAIN Manchester United, Zlatan Ibrahimovic diasak pemain Southampton, Jose Fonte dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Ibrahimovic, Pogba menyinar bantu United benam Southampton


ZLATAN Ibrahimovic membuka jaringan pada minit ke-36 dengan melompat tinggi untuk menanduk masuk bola hantaran lintang kapten Wayne Rooney. - Foto Reuters

MANCHESTER: Zlatan Ibrahimovic meledak dua gol dan pemain termahal dunia, Paul Pogba menyinar dalam penampilan semulanya ketika Manchester United menewaskan Southampton 2-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi untuk mencatat kemenangan kedua pada musim ini.

Ibrahimovic, yang beraksi buat pertama kali di laman sendiri sejak meninggalkan Paris St-Germain, membuka jaringan pada minit ke-36 dengan melompat tinggi untuk menanduk masuk bola hantaran lintang kapten Wayne Rooney.

Penyerang Sweden berusia 34 tahun itu menambah gol kedua pada minit ke-52 daripada sepakan penalti, selepas Jordy Clasie menjatuhkan Luke Shaw yang membuat larian licik ke dalam kotak penalti.

Ia adalah gol ketiga Ibrahimovic dalam dua perlawanan dan memastikan pengurus Jose Mourinho mengutip mata maksimum dalam penampilan rasmi pertamanya di Old Trafford.

"Kami memang berhak untuk kemenangan ini dan menguasai sepenuhnya permainan," kata Mourinho. "Kami menang dengan selesa dan keputusan itu mungkin lebih besar."

"Kami semakin bagus hari demi hari," tambah Ibrahimovic. "Ia permulaan baik. Kami perlu membiasakan diri untuk menang selalu."

Tonggak Perancis, Pogba kembali semula ke kelab pertamanya daripada Juventus dengan nilai perpindahan 89 juta pound (RM467 juta).

Dia mempamerkan kelasnya dengan corak permainan dinamik, menggelecek dengan penuh kekuatan dan bekerjasama dengan baik bersama Rooney dan Ibrahimovic. - REUTERS

Berita Harian X