Jumaat, 19 Ogos 2016 | 3:14pm

Kepala tersepit pada besi tangga


Anggota bomba membantu mengeluarkan kepala bayi lelaki berusia setahun yang tersangkut pada besi penghadang tanga di Taman Nilai Impian, Nilai. - Foto ihsan Bomba

NILAI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun menahan kesakitan kira-kira 30 minit apabila kepalanya tersepit pada besi tangga di rumahnya di Nilai Impian di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, kanak-kanak berkenaan tidak mengalami kecederaan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Nizal Abu Kassim, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 1.04 tengah hari sebelum sebuah jentera bersama tujuh pegawai serta anggota dihantar ke rumah itu.

Katanya, kejadian disedari ibu kanak-kanak itu yang mendengar suara anaknya menjerit akibat tersepit.

"Anggota bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan kepala mangsa yang tersepit pada besi tangga dengan menggunakan alat perenggang," katanya di sini, hari ini.

Khairul Nizal berkata, kanak-kanak itu dipercayai tersepit pada besi tangga ketika bermain seorang diri di rumah teres dua tingkat itu.

Berita Harian X