Khamis, 18 Ogos 2016 | 12:35pm

APMM tahan kapal dagang asing di Tanjung Piai

PONTIAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal dagang asing yang berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai, dekat sini semalam.

Kapal MV Vighnharta yang berdaftar di India dikesan melakukan kesalahan itu pada kedudukan kira-kira empat batu nautika tenggara Tanjung Piai pada jam 2 petang.

Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Maritim Johor Bahru, Komander Maritim Iskandar Ishak, berkata kapal dagang itu dikesan oleh bot peronda APMM dalam Operasi Satria Selatan sebelum pemeriksaan mendapati ia tiada dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Kapal dipercayai dalam perjalanan dari Mumbai ke Singapura itu turut didapati melakukan kesalahan berlabuh di kawasan larangan bersauh di had pelabuhan Tanjung Pelepas," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Iskandar berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan membawa 27 kru warga India berusia 24 hingga 69 tahun.

"Empat kru dibawa ke Pejabat APMM Daerah Johor Bahru untuk siasatan lanjut. Kapal berkenaan kemudian ditahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952," katanya.

Katanya, pemilik kapal boleh didakwa mengikut Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berita Harian X