Khamis, 18 Ogos 2016 | 12:07am
Pengarah JKDM Pahang, Datuk Sarip Ismail. - Foto Shahrinnahar Latib
SARIP (empat dari kiri) bersama sebahagian kakitangan yang terbabit dalam membina kebun sayur-sayuran yang berkonsepkan Eco-Pejabat. - Foto Shahrinnahar Latib
KAKITANGAN JKDM membuat kerja-kerja berkebun ketika luar waktu kerja. - Foto Shahrinnahar Latib
ANAK-ANAK pokok yang baru disemai. - Foto Shahrinnahar Latib
KEBUN seluas dua gelanggang badminton ini ditanam dengan pelbagai jenis sayur seperti sawi, bayam, cili, kobis, kacang panjang, kacang bendi dengan terung. - Foto Shahrinnahar Latib
POKOK cili yang ditanam di kebun yang berkonsepkan Eco-Pejabat di Wisma Kastam Sultan Ahmad di Indera Mahkota. - Foto Shahrinnahar Latib

Kebun sayur indahkan Wisma Kastam Pahang


KUANTAN: Lazimnya pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dikaitkan dengan urusan berkaitan percukaian.

Namun pelawat pejabat JKDM Pahang pasti tertarik dengan landskap kebun sayur yang mengindahkan tempat letak kenderaan Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah dekat Indera Mahkota di sini.

Kebun seluas kira-kira 160 meter persegi itu, ditanam dengan pelbagai jenis sayur-sayuran seperti sawi, bayam, cili, kobis, kacang panjang, kacang bendi dengan terung.

Menariknya ia ditanam menggunakan pelbagai bahan kitar semula terpakai seperti tayar, botol, kayu pelet untuk membuat pagar, bekas tanaman sayur serta kerusi dan meja.

Pengarah JKDM Pahang, Datuk Sarip Ismail, berkata projek kebun sayur itu dilaksanakan selaras amalan 'go green' pihaknya dalam pelaksanaan amalan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) yang disijilkan Tahap Cemerlang oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).


SEBAHAGIAN sayuran yang ditanam di kebun sayur-sayuran yang berkonsepkan Eco-Pejabat di kawasan tempat letak kenderaan. - Foto Shahrinnahar Latib

SAYUR yang ditanam di dalam bekas terpakai seperti tayar. - Foto Shahrinnahar Latib

"Bagi menjayakan projek itu, kami mewujudkan Jawatankuasa Lankskap JDKM Pahang disertai kira-kira 20 pegawai dan kakitangan jabatan daripada pelbagai gred jawatan.

"Pasukan dibahagikan kepada dua sesi iaitu jam 7.30 hingga 8.30 pagi dan 5 hingga 6.30 petang untuk berkebun. Usaha ini tidak mengganggu tugas hakiki masing-masing sebagai pegawai kastam kerana dilakukan luar waktu kerja," katanya kepada BH di sini, semalam.

Beliau berkata, projek kebun sayur yang dimulakan sejak Mei lalu sudah mengeluarkan hasil yang diagihkan kepada semua peserta, selain turut menarik minat kakitangan JKDM Pahang lain membelinya.

"Mungkin jika kebun ini lebih besar, kita boleh jual kepada kakitangan lain, secara tidak langsung dapat menjimatkan perbelanjaan harian kakitangan dalam membeli sayur.

"Saya bangga dengan komitmen kakitangan di sini yang sanggup bertungkus lumus menyiapkan taman ini termasuk memberi sumbangan peruntukan," katanya.


KAKITANGAN JKDM menyiram pokok sayuran di Wisma Kastam Sultan Ahmad di Indera Mahkota. - Foto Shahrinnahar Latib

SARIP melihat anak pokok yang disemai. - Foto Shahrinnahar Latib

Sarip berkata, pihaknya merancang membesarkan lagi kebun berkenaan pada masa depan secara menambah pokok buah-buahan tempatan supaya hasilnya dapat dinikmati bersama.

"Kita mahu kebun ini menjadi inspirasi dan dipraktikkan agensi kerajaan dan swasta lain kerana ia bukan sahaja menyejukkan mata memandang, malah memupuk sifat tanggungjawab dan kerjasama," katanya.

INFO: Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah

  • 2014 - Dirasmikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah
  • 2010 - mulai dibina dan siap sepenuhnya awal 2013
  • RM16.7 juta - Kos pembinaan Wisma Kastam

Berita Harian X