Selasa, 16 Ogos 2016 | 10:52pm

'Doktor Maut' ditahan kerana bunuh, tanam 6 pesakit

MUMBAI: Polis menahan seorang doktor di barat India, kerana didakwa menyuntik enam orang pesakitnya dengan dos membawa maut dan menanam sebahagian besar mayat mangsa di rumah ladang miliknya, kata seorang pegawai.

Santosh Pol yang digelar 'Doktor Maut' oleh media tempatan ditahan di sebuah bandar di Maharashtra hujung minggu lalu ketika polis menyiasat kehilangan seorang daripada mangsanya.

"Pol mengaku membunuh enam mangsa termasuk lima wanita dan seorang lelaki. Kami menjumpai empat mayat di rumah ladangnya dan satu lagi di luar kediamannya.

"Tertuduh sentiasa mengubah kenyataan semasa disoal siasat, menyebabkan kami sukar memahami motifnya," kata Inspektor Polis, Padmakar Ghanvat.

Semua mangsa didakwa hilang dari sebuah bandar indah di Wai, terletak 230 kilometer dari selatan bandar ini, namun tiada maklumat lengkap diperoleh antara mangsa dan tertuduh.

Rakaman televisyen menunjukkan polis berada di kawasan ladang milik Pol sementara pegawai lain menggunakan jentera pengorek, disaksikan penduduk kampung.

Dalam pada itu, media tempatan memetik polis sebagai berkata, jururawat Pol turut ditahan kerana disyaki membantunya melakukan beberapa pembunuhan itu. -AFP

Berita Harian X