Selasa, 16 Ogos 2016 | 5:28pm

Polis sedia hadapi sebarang kemungkinan pada Hari Kebangsaan


SEBAHAGIAN daripada anggota Polis yang terlibat dalam perbarisan sempena majlis penyampaian Sayap Penerjunan kepada peserta kursus Asas Payung Terjun Taktikal siri 1/2016 di Padang Tembak PGA Ulu Kinta. - Foto Supian Ahmad

IPOH: Polis bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan walaupun tidak menerima sebarang maklumat mengenai ancaman bom semasa sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman.

Beliau berkata, pihak polis tidak akan mengambil mudah kemungkinan itu dengan sentiasa melakukan pemantauan selain mengatur gerak kerja bagi meningkatkan kawalan keselamatan.

"Antara kawasan diberi tumpuan termasuk sekitar Bukit Aman, Parlimen dan pusat-pusat hiburan di ibu negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian Sayap Penerjunan kepada peserta Kursus Asas Payung Terjun Taktikal Siri 1/2016 di Padang Tembak Briged Utara, Ulu Kinta di sini, hari ini.

Beliau berkata, perbincangan telah dibuat dengan Ketua Polis Kuala Lumpur mengenai aspek keselamatan seperti menambah bilangan anggota dan pemantauan di kawasan-kawasan 'hotspot' di ibu kota.

"Tetapi apa yang penting kita perlukan maklumat untuk mengekang sebarang ancaman kerana setakat ini kita cuma ada maklumat bahawa akan ada demonstrasi namun tidak ada lagi maklumat mengenai ancaman pengeboman," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X