Isnin, 15 Ogos 2016 | 8:46pm

MAIK terima zakat RM400,000 daripada KSK MAS


TIMBALAN Pengerusi KSK MAS, Mohamad Saadi Padel (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek kepada Mohd Nik Azlan (tiga dari kiri) di Pejabat MAIK, Kota Bharu, hari ini. - Foto Faris Zainuldin

KOTA BHARU: Koperasi Serbaguna Kakitangan MAS (M) Bhd (KSK MAS) menyerahkan zakat perniagaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berjumlah hampir RM400,000.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Mohd Nik Azlan Abd Hadi, berkata sumbangan itu menjadikan kutipan zakat MAIK sehingga semalam lebih RM104 juta.

Daripada jumlah itu, katanya, MAIK sudah mengagihkan kutipan zakat kepada lapan asnaf termasuk untuk pelajar yang melanjutkan pengajian ke luar negara dan pembinaan rumah transit mangsa banjir bernilai RM100 juta.

"MAIK berterima kasih kepada KSK MAS kerana memberi kepercayaan kepada MAIK menyerahkan zakat ini kepada golongan asnaf.

"Zakat akan diserahkan kepada asnaf menerusi program Laman Ehsan di Pasir Puteh dengan asnaf diberi peluang menjana pendapatan melalui perniagaan.

"Selepas lima hingga tujuh tahun, mereka diharap menjadi pembayar zakat dan keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan cek zakat perniagaan KSK MAS kepada MAIK di sini, hari ini.

Berita Harian X