Rabu, 19 November 2014 | 10:17am
PASANGAN suami isteri Abdullah Ibrahim dan Zainon Din mengangkut barang keperluan untuk berpindah selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Binjai di Kuala Terengganu, semalam. - Foto BERNAMA

Banjir: 2,312 dipindahkan di 18 pusat pemindahan di Terengganu

SEORANG lelaki memindahkan motosikalnya ke tempat yang selamat di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Payung, Kuala Terengganu. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat apabila 2,312 mangsa daripada 589 keluarga dipindahkan ke 18 pusat pemindahan di empat daerah sehingga jam 9 pagi ini.

Tiga daerah yang terbabit banjir sejak petang semalam ialah Kuala Terengganu, Marang dan Setiu, manakala Hulu Terengganu dilanda banjir sejak malam tadi.

Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri Terengganu, Roslina Ngah, berkata, daerah Kuala Terengganu masih mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 1,575 mangsa dari 407 keluarga.

Semua mangsa dipindahkan ke 10 pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering (54 mangsa); Dewan Sivik Gong Badak (110); SK Kompleks Gong Badak (833); SK Gong Tok Nasek (lapan) dan SK Tok Jiring (92).

SK Tok Jembal (348); SK Bukit Petiti (27); SK Tanjung Gelam (66); SK Bukit Nenas (26); SK Teluk Ketapang (11).

Bagi daerah Marang, seramai 642 mangsa dari 154 keluarga pula dipindahkan ke dua pusat pemindahan iaitu SMK Seri Payong (417) dan SK Rusila (225).

Di daerah Setiu, seramai 54 mangsa dari 15 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan iaitu Balairaya Kampung Sungai Lerek (12); Surau Kampung Sungai Pinang (36) dan Balai Raya Rhu Tapai (enam).

PESERTA projek tanaman berkelompok, Rokiah Jusoh memeriksa sayur kangkung yang hampir mati akibat ditenggelami air di Kampung Che Long, Chabang Tiga di Kuala Terengganu. Seramai 16 peserta projek tanaman berkelompok mengalami kerugian kira-kira RM30,000 akibat kawasan tanaman seluas enam hektar di Kampung Che Long musnah di tenggelami air selepas hujan yang berterusan sejak kelmarin. - Foto BERNAMA

Hulu Terengganu pula menyaksikan 41 mangsa dari 13 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan.

Roslina berkata, dengan keadaan cuaca semasa yang berterusan hujan, pihaknya menjangka lebih ramai mangsa dan kawasan akan terjejas banjir.

"Setakat ini kebanyakan sungai di negeri ini berada pada paras amaran dan semua jalan utama masih boleh dilalui," katanya.

Berita Harian X