Ahad, 14 Ogos 2016 | 9:16pm

Peneroka maut, cucu parah motosikal dirempuh kereta

GUA MUSANG: Seorang peneroka maut manakala cucu perempuannya parah apabila motosikal yang mereka tunggang dirempuh kereta, di Kilometer 43 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Paloh 2, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, Latif Salleh, 71, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala manakala cucunya, Norfakira Afikal Mohd Faizal, 5, patah paha kiri.

Pasangan suami isteri yang menaiki PERODUA Alza berusia 50-an tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Gus Musang, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata ketika kejadian dua beranak itu menyeberang jalan untuk pulang ke rumah selepas Solat Asar.

"Ketika itu, mangsa tidak sedar sudah memasuki laluan bertentang sebelum dirempuh Alza yang dinaiki pasangan suami isteri dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang.

"Akibat rempuhan kuat itu, mangsa tercampak kira-kira dua meter. Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk dibedah siasat dan cucunya dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan.

Berita Harian X