Ahad, 14 Ogos 2016 | 8:52pm

Bekas penuntut dakwa ditipu, kolej tawar kursus tak diiktiraf


BEKAS penuntut Sijil Seni Kulinari, Muhammad Ariff Nor Ismail (kanan) dan Muhamad Asyraaf Mahizan menunjukkan laporan polis berikutan dakwaan ditipu pengurusan kolej kerana gagal mengeluarkan sijil berikutan kursus berkenaan tidak diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). -Foto Suhaidah Othman

IPOH: Sekumpulan bekas penuntut Sijil Seni Kulinari sebuah kolej swasta di sini mendakwa ditipu pengurusan kolej kerana gagal mengeluarkan sijil berikutan kursus berkenaan tidak diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). 

Seorang daripada mereka, Muhammad Ariff Nor Ismail, 19, mendakwa sejak mendaftar di kolej terbabit, dia sudah membayar RM20,120 daripada RM32,900 wang yuran kursus bagi tempoh pengajian tiga tahun bermula Julai 2014 hingga 2017. 

Bagaimanapun, katanya, selepas setahun belajar di kolej terbabit, mereka dapati bayaran itu tidak setimpal dengan kemudahan serta silibus pengajian yang bersesuaian kerana lebih bertumpu kepada teori dan bukan latihan seperti mana dijanjikan ejen kolej berkenaan ketika membuat promosi mengenai kolej itu. 

"Sudahlah harga pengajian mahal, kolej itu juga tiada kemudahan perpustakaan, kelas yang selesa serta kemudahan dapur yang mencukupi, malah saya difahamkan beberapa tenaga pengajar di kolej terbabit tidak memiliki Kursus Sijil Pengajar Vokasional (VTO). 

"Kolej berkenaan juga gagal mengeluarkan sijil keputusan peperiksaan meskipun bayaran yuran telah dibuat," katanya ketika ditemui pada sidang media di sini, hari ini. 

Muhammad Ariff Nor berkata, ketika mula mendaftar, pengurusan kolej berkenaan menjanjikan bantuan pinjaman PTPK sebanyak 80 peratus, bagaimanapun selepas setahun dia hanya menerima RM15,000 sahaja manakala selebihnya terpaksa dibayar oleh ibubapa.

"Keluarga saya bukanlah orang kaya, namun bila saya minta tangguh pembayaran, pengurusan kolej berkenaan tidak membenarkan saya menduduki peperiksaan malah minta saya menjelaskan  yuran kolej," katanya. 

Seorang lagi bekas pelajar, Muhamad Asyraaf Mahizan, 19 yang turut menerima nasib yang sama berkata, dia mahu wang pengajiannya dikembalikan serta mahu pihak berkuasa menyiasat kolej berkenaan yang didakwanya turut menipu tujuh rakan sekelasnya. 

"Program itu sepatutnya lebih bertumpu kepada teknik dan kemahiran memasak, tetapi kami hanya belajar teori, akibat tidak menerima sijil daripada kolej berkenaan, saya terpaksa belajar di kolej lain dan bermula semula dari bawah, bukan saja saya kerugian masa, malah kerugian wang ringgit," katanya. 

Muhammad Ariff Nor dan Muhammad Asyraff serta beberapa rakan sekelas sudah membuat laporan polis secara individu.

Berita Harian X