Rabu, 19 November 2014 | 7:47am

Marang, Setiu mula banjir


SEBAHAGIAN mangsa banjir membawa anak-anak mereka ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Payung, Marang, selepas rumah mereka dinaiki air di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Payung. - Foto Aswadi Alias

KUALA TERENGGANU: Selepas Kuala Terengganu, dua lagi daerah iaitu Marang dan Setiu turut dilanda banjir, menyaksikan jumlah mangsa yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan meningkat kepada 1,268 dari 286 keluarga sehingga jam 11 malam tadi.

Kuala Terengganu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 987 mangsa dari 224 keluarga dan dipindahkan ke enam pusat pemindahan.

Pemangku Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Shaballah Zainal Abidin, berkata seramai 697 mangsa dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak; Dewan Sivik Gong Badak (195); SK Chendering (87) dan SK Tok Nasik (81).

Beliau berkata, bagi daerah Marang pula, seramai 251 mangsa dari 54 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Payong (183) dan SK Rusila (68).


BANJIR kilat berhampiran stesen minyak Bukit Payung, Marang menyukarkan pengguna jalan raya di kawasan yang terbabit. - Foto Mohd Syafiq Ambak

Katanya bagi daerah Setiu, seramai 30 mangsa dari lapan keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan iaitu Balai Raya Kampung Sungai Lerek (12) dan Surau Kampung Sungai Pinang (lapan).

Shaballah berkata, jumlah itu meningkat berbanding hanya 55 mangsa yang dipindahkan ke dua pusat pemindahan di daerah ini petang semalam.

"Keadaan cuaca yang berterusan hujan memungkinkan lebih banyak kawasan akan terjejas dan lebih ramai mangsa akan dipindahkan berikutan rumah mereka dinaiki air.

"Kita meminta kerjasama dari orang ramai supaya sentiasa peka dengan keadaan di luar rumah dan mereka perlu cepat memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kenaikan air," katanya.

Berita Harian X