Ahad, 14 Ogos 2016 | 2:04pm

Mencari Sumaiyah: Erra puji 4 pelakon pelapis


Erra Fazira (kiri) dan Sherry Alhadad (dua dari kiri) pada pementasan teater muzikal Mencari Sumaiyah di Istana Budaya. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Primadona filem Melayu, Erra Fazira menyifatkan empat teman gandingannya dalam teater Mencari Sumaiyah yang sedang dipentaskan di Istana Budaya, di sini, sebagai pelapis terbaik bidang lakonan.

Erra menganggap Sherry Alhadad, Nadia Aqilah, Ruzana Ibrahim dan Aisya Hasnaa bertuah kerana masing-masing mendapat pendedahan awal dalam bidang teater dan muzik.

"Mereka bertuah kerana mempunyai latar belakang seni terutama dalam bidang teater dan vokal. Berbeza ketika saya mula berlakon dulu, saya belajar sendiri mengikut gerak hati dan keinginan diri.

"Jadi, tidak pelik kemunculan mereka di pentas berprestij Istana Budaya membuatkan penonton kagum dan terpana.

"Kalau diputarkan masa dan diberi peluang sama, Erra juga hendak belajar seperti mereka. Zaman artis sekarang semuanya terbuka luas.

"Namun, semua berbalik kepada semangat dan minat. Apa-apapun, tahniah kepada produksi teater Mencari Sumaiyah yang menggabungkan pelakon hebat," katanya.

Selain Erra yang memegang watak Maya Sue atau Sumaiyah, teater arahan Hans Isaac ini turut dibintangi Afdlin Shauki dan Fauziah Nawi.

Malam ini adalah peluang terakhir peminat menyaksikan teater Mencari Sumaiyah di Panggung Sari, Istana Budaya. Teater ini mula dipentaskan pada 8 Ogos lalu.

Teater ini diterbitkan Hyper Pictures Sdn Bhd dan Tall Order Sdn Bhd. Ia turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia serta Istana Budaya selain sokongan Biro Pembangunan Kreatif Puteri UMNO.

Kali terakhir muncul di pentas teater melalui naskhah Bahayanya Wanita, kira-kira dua tahun lalu, aksi Erra dalam Mencari Sumaiyah tampak bersahaja.

Mengulas mengenai perkara itu, Erra memberitahu BH Online: "Dibantu dengan pelakon lain, saya bebas membuat apa tanpa terikat dengan skrip dan karakter.

"Selama ini, saya berlakon dan terikat dengan apa yang sudah ditetapkan. Watak kali ini lebih 'gila' dan terbuka. Saya banyak bermain emosi.

"Bergandingan dengan Afdlin saya membuatkan saya perlu bersedia dengan apa saja 'punch line' yang tak terduga.

"Malah ada antara dialog yang kami lontarkan tiada dalam skrip. Jadi, tidak peliklah usikan peribadi turut menjadi 'modal' kami berdialog di pentas," katanya.

Erra juga mengaku tercabar menyanyi secara langsung dalam pementasan itu.

"Pada pementasan lalu, ada antara bahagian nyanyian itu dirakamkan terlebih dulu. Namun, menyanyi secara langsung sudah menjadi prinsip produksi Hans. Ia suatu cabaran namun saya puas," katanya.

Berita Harian X