Ahad, 14 Ogos 2016 | 12:54am

KHM sasar sapu bersih emas hoki Sukan SEA 2017

PRESIDEN KHM, Datuk Seri Subahan Kamal (lima kiri) pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan KHM ke-63, di Wisma OCM, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bertekad untuk menyapu bersih semua empat pingat emas yang akan dipertandingkan dalam Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berjanji menyapu dua emas tambahan dalam sukan itu apabila hoki dalam dewan (enam pemain) lelaki dan wanita, dipertandingkan buat kali pertama pada temasya sukan dwitahunan itu, selain mempertahankan pingat emas hoki padang lelaki dan wanita.

"Usaha untuk meraih kesemua emas sedang giat dijalankan dan seperti mana yang kita tahu, Malaysia memang tidak ketandusan bakat dalam sukan hoki ini. Pengarah Teknikal KHM, Terry Walsh akan mengetuai pasukan petugas khas untuk meneliti hal ini dengan bantuan jurulatih.

"Kita juga akan mengkaji sama ada menggunakan jurulatih sedia ada atau jurulatih lain untuk skuad Sukan SEA," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan KHM ke-63, di Wisma OCM di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif KHM, K Logan Raj, berkata skuad senior kebangsaan (elit) lelaki dan wanita akan terus fokus kepada hoki padang manakala skuad pembangunan lelaki dan wanita akan memulakan latihan untuk hoki dalam dewan.

"Kita tidak aktif dengan hoki dalam dewan di peringkat antarabangsa walaupun masih mengamalkannya di peringkat rendah. Kita akan meningkatkan latihan, terutamanya bagi hoki dalam dewan dan menyertai jelajah luar negara untuk mendapatkan pengalaman.

"Pada asasnya kedua-dua permainan ini sama ada padang dan dalam dewan adalah sama, cuma corak permainannya lain sedikit.

"Kita akan membariskan barisan pemain yang paling baik untuk meraih emas dan tidak mahu mengambil risiko dalam hal ini," katanya.

Sebagai rekod, skuad hoki padang lelaki pernah menjuarai Sukan SEA sebanyak 15 kali sejak acara itu diperkenalkan pada edisi 1971 di Malaysia dan hanya sekali sahaja terlepas emas apabila meraih perak pada edisi 1973 di Singapura.

Pasukan wanita pula muncul juara sebanyak enam kali dan naib juara dua kali daripada lapan edisi hoki wanita dipertandingkan sejak 1993 di Singapura. - BERNAMA

Berita Harian X