Sabtu, 13 Ogos 2016 | 10:23pm

11 kaki sabung ayam ditahan


POLIS merampas ayam sabung (dalam kotak) dalam serbuan di Limbang. - Foto ihsan PDRM

LIMBANG: Sebelas lelaki ditahan ketika sedang asyik berjudi sabung ayam di Simpang Tiga, Kampung Palas, Jalan Mendamit, semalam.  

Mereka ditahan dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang kira-kira jam 2.55 petang selepas menjalankan risikan dan pemantauan selama beberapa hari. 

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata mereka yang ditahan itu berusia antara 19 hingga 48 tahun. 

Turut dirampas tujuh ekor ayam yang digunakan dalam aktiviti perjudian berkenaan dengan tiga daripadanya sudah mati. 

"Hasil pemantauan dan risikan, aktiviti perjudian itu hanya membabitkan penduduk sekitar kawasan berkenaan. 

"Mereka tidak melakukannya terlalu kerap kerana bimbang ia dihidu pihak berkuasa dan penganjuran hanya diadakan jika mendapat permintaan," katanya. 

Beliau berkata, semua yang ditahan di bawa ke IPD Limbang untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Penganiayaan Binatang 1962.

Berita Harian X