Sabtu, 13 Ogos 2016 | 5:27pm

Lebih 13,000 TASKA diperlukan menjelang 2020


ROHANI (tengah) melancarkan portal www.asuhan.my pada Majlis Sambutan Hari TASKA Peringkat Kebangsaan Tahun 2016, di Kuala Lumpur, semalam. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Negara memerlukan lebih 13,000 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) menjelang tahun 2020 untuk menampung 3.4 juta kanak-kanak bagi memastikan mereka mendapat didikan dan asuhan berkualiti.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata setakat ini negara hanya mempunyai 4,240 TASKA berdaftar.

Justeru, katanya, lebih banyak TASKA perlu diwujudkan bagi menampung kanak-kanak yang ramai, sekali gus mampu mengurangkan kebergantungan kepada pembantu rumah warga asing serta membantu ibu bapa mengatasi masalah pengasuhan.

"Kita mahu 56 peratus wanita mempunyai kerjaya menjelang tahun 2020. Oleh itu, kena pastikan TASKA mencukupi untuk menjaga anak mereka yang bekerjaya, malah anak mampu diurus dengan baik," katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari TASKA Peringkat Kebangsaan Tahun 2016, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Zulkiply Ramli dan Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), PH Wong.

Beliau turut melancarkan portal www.asuhan.my yang akan memberi kemudahan kepada semua pihak untuk mengenalpasti TASKA yang berdaftar.

Rohani turut mencadangkan supaya majikan syarikat swasta menubuhkan TASKA di tempat kerja.

20 dibaca
Berita Harian X