Sabtu, 13 Ogos 2016 | 4:56pm

UMNO Jerlun tak terpengaruh dengan Mukhriz


AHMAD Bashah bersama Abu Hassan (dua dari kanan) dan Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz (kanan) beramah mesra dengan veteran UMNO Jerlun pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jerlun di Kubang Pasu, hari ini. - Foto Amran Hamid

KUBANG PASU: Perpaduan UMNO Bahagian Jerlun tidak tergugat dengan pengaruh Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga bekas ketua UMNO bahagian itu yang turut terbabit menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata kesetiaan dan perpaduan UMNO bahagian Jerlun terhadap parti terbukti apabila semua 167 cawangan menghantar perwakilan dalam mesyuarat bahagian termasuk ketiga-tiga sayap parti, hari ini.

Katanya, pihaknya mahu semangat itu dikekalkan bukan saja di Jerlun, malah seluruh UMNO Kedah dengan mengambil pendekatan buang yang keruh ambil yang jernih.

"Saya difahamkan tiada masalah diterima daripada semua perwakilan di peringkat cawangan meskipun kita tahu sejarah yang berlaku di Jerlun (penyingkiran Mukhriz dari UMNO).

"Saya percaya dengan kehadiran Pemangku Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Abu Hassan Sharif, beliau dapat memimpin bahagian Jerlun," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerlun, di sini hari ini.

Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah, dipecat daripada UMNO pada 24 Jun lalu.

Berita Harian X