Sabtu, 13 Ogos 2016 | 12:18pm

1,000kg pakaian percuma habis diedar 2 jam


SEBANYAK 1,000kg pakaian habis diedarkan kepada orang ramai dalam tempoh dua jam di Pasar Percuma. - Foto Hamzah Osman

LANGKAWI: Sebanyak 1,000 kilogram (kg) pakaian habis diedarkan kepada orang ramai dalam tempoh dua jam di Pasar Percuma anjuran Sukarelawan Amal Langkawi (SAL) di Tapak Pasar Malam Padang Matsirat, di sini, pagi ini.

Ia membabitkan pelbagai jenis pakaian termasuk baju kurung wanita, kemeja, baju-T, pakaian kanak-kanak serta novel terpakai.

Seramai 10 sukarelawan membantu bagi melancarkan kerja mengagihkan pakaian berkenaan.

Pengerusi SAL, Aini Murgan, berkata kira-kira 800 pengunjung membanjiri kawasan itu mulai jam 8.30 pagi.

Katanya, program itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan pelbagai pakaian tanpa bayaran.

"SAL menerajui program ini dan kami komited membantu golongan ibu tunggal, anak yatim dan fakir miskin seluruh Langkawi," katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X