Sabtu, 13 Ogos 2016 | 1:10am

Selangor, FELDA layak ke suku akhir Piala Malaysia


PEMAIN FELDA Utd, Francis Forkey Doe (dua kanan) menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi. - Foto Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Selangor dan FELDA United menjadi pasukan terbaharu mengesahkan tiket ke suku akhir kempen Piala Malaysia selepas mencatat kemenangan di tempat lawan, malam tadi.

Selangor memintas kedudukan Kelantan di tangga teratas Kumpulan B selepas menewaskan tuan rumah 4-1 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu.

Empat gol skuad Gergasi Merah dijaringkan Abdul Hadi Yahya menerusi sepakan penalti pada minit ke-22 serta tiga gol padang, masing-masing hasil sentuhan penyudah R Gopinathan pada minit ke-24 dan 57 serta Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-27.

Wan Zaharulnizam Wan Zakaria merapatkan jurang untuk Kelantan pada minit ke-36 menerusi sepakan penalti selepas Indra Putra Mahayuddin dijatuhkan pertahanan Selangor, Ugo Ukah dalam kotak penalti.

Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain sejak awal babak kedua setelah Bunyamin Umar diperintah keluar padang setelah mengutip kad kuning kedua pada minit ke-47.

Turut mengesahkan kemaraan ke suku akhir adalah Felda United yang mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Terengganu dalam aksi Kumpulan D di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Tiga gol skuad 'The Fighters' dijaringkan Nor Fadzly Alias pada minit ke-19, Francis Forkey Doe (m44) dan Zah Rahan Krangar (m77).

Pahang pula tersingkir daripada persaingan ke suku akhir walaupun menang tipis 2-1 ke atas Kuala Lumpur dalam satu lagi aksi Kumpulan B di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Dua gol skuad Tok Gajah dijaringkan Claudio Andres Meneses pada minit ke-29 dan Jailton De Campos (m63) manakala Kuala Lumpur meraih gol sagu hati menerusi sentuhan penyudah Leonardo Moreira pada minit ke-46.

Terdahulu, perlawanan terpaksa dihentikan pada minit ke-80 susulan tindakan segelintir penyokong Pahang membaling bom asap di tepi padang.

Dalam pada itu, pendahulu Liga Perdana, Melaka United kembali menghidupkan peluang merebut slot suku akhir selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan D di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Dua gol tuan rumah dihasilkan kapten pasukan, Ilija Spasojevic pada minit ketujuh dan 31. - BERNAMA

Berita Harian X