Jumaat, 12 Ogos 2016 | 9:16pm

Naza Kia sasar jual 240 unit Sorento, Sportage sebulan


KETUA Naza Kia Malaysia, Nazman Yusof (kanan) bersama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George bergambar bersama kereta SUV Kia Sorento pada majlis pelancaran dua model terbaharu kenderaan utiliti sukan (SUV) Kia Sorento dan Sportage di Kuching, hari ini. - Foto Che Rani Che Din

KUCHING: Naza Kia Malaysia menyasarkan jualan 240 unit sebulan dua model terbaharu kenderaan utiliti sukan (SUV) Kia Sorento dan Sportage, dengan 15 peratus daripadanya di Sabah dan Sarawak.

 

Ketua Naza Kia Malaysia, Nazman Yusof, berkata sasaran itu realistik berdasarkan trend semasa pasaran tempatan, selain minat orang ramai terhadap dua model baharu itu.

Beliau berkata, SUV semakin diminati di negara ini terutama di Sabah dan Sarawak yang bentuk muka buminya agak mencabar serta memerlukan kenderaan yang lasak.

 

"Kami yakin dengan pengenalan dua model ini mampu menarik minat pengguna kenderaan, khususnya yang mahukan kenderaan lasak berciri mewah.

 

"Ciri berkenaan ada pada model terbaharu Sorento dan Sportage yang memang sesuai untuk kegunaan di Sabah dan Sarawak, dua negeri yang cukup luas serta memiliki bentuk muka bumi mencabar," katanya ketika melancarkan kedua-dua model baharu berkenaan di sini, hari ini.

 

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George serta Ketua Pemasaran dan Produk Naza Kia Malaysia, Irhash Zamani.

 

Nazman berkata, pihaknya yakin pengenalan dua model baharu itu dijangka mampu menarik perhatian pengguna kenderaan di negara ini yang kini lebih meminati kenderaan berkonsep SUV.

 

Katanya, keyakinan itu berdasarkan segmen pasaran SUV di Malaysia yang mencerminkan trend pasaran global yang kian berkembang dan semakin mengukuh sejak tiga tahun lalu.

 

"Dalam tempoh tiga tahun sejak 2012, pasaran segmen SUV semakin menunjukkan peningkatan apabila berkembang 88.9 peratus dengan 59,000 unit SUV dijual di negara ini. 

 

"Di Sabah dan Sarawak pula, pasaran SUV menunjukkan peningkatan setiap tahun dan berdasarkan perkembangan itu, kami menyasar menjadikan wilayah ini sebagai platform untuk mengukuhkan lagi pasaran SUV diesel," kayanya.

 

Beliau berkata, Kia Sportage ditawarkan dalam dua varian, manakala Sorento didatangkan dalam tiga varian menggunakan enjin petrol 2.4 liter serta turbo diesel 2.2 liter.

Info:

* Harga Kia Sorento di Sarawak bermula daripada RM160,264 

* Harga Sportage antara RM121,628 hingga RM140,542

12 dibaca
Berita Harian X