Jumaat, 12 Ogos 2016 | 8:55pm

Piala Malaysia bukan sasaran JDT - Gomez

PENGENDALI JDT, Mario Gomez (tengah) pada sesi latihan di padang Sekolah Anderson. - Foto Supian Ahmad

JOHOR BAHRU: Hanya kemenangan mampu menghidupkan peluang Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi memburu slot ke pusingan seterusnya apabila berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Walaupun Piala Malaysia bukanlah sasaran utama yang diletakkan oleh JDT tatkala pemburuan melangkah ke saingan Piala AFC musim ini sudah terlaksana selepas menjuarai Piala FA, namun bagi pengendali, Mario Gomez tampak mahu meneruskan usaha dalam kancah saingan piala berprestij itu.

"Sasaran musim ini adalah mengekalkan kejuaraan Liga Super dan Piala AFC, malah hajat muncul juara Piala FA sudah tercapai dan tidak salah untuk cuba layak ke pusingan seterusnya dalam kancah Piala Malaysia.

"Sebagai jurulatih saya tidak rela untuk tewas dalam apa jua pertandingan dan kita akan berusaha untuk melakukan kebangkitan pada saingan Kumpulan C dan saya optimis peluang tetap ada biarpun perlu bekerja lebih keras lagi bagi mengharungi baki dua perlawanan.

"Dua kali kita akan menentang PDRM dengan aksi pada malam ini dan kemudian pada Selasa dalam saingan liga yang saya anggap begitu penting, namun biar kita tempuh satu persatu perlawanan dan mungkin ada rombakan pemain untuk aksi pertama," katanya.

Gomez berkata, beberapa pemain yang tidak diturunkan ketika aksi menentang Perak, Rabu lalu akan beraksi namun perubahan pemain tidak begitu ketara bagi memastikan rentak permainan tidak terjejas.

Katanya, Aidil Zafuan Abd Radzak akan kembali menguatkan benteng pertahanan untuk aksi malam esok, namun dia tidak dapat beraksi menentang PDRM pada saingan liga akibat digantung satu perlawanan dan kemungkinan Hasbullah Abu Bakar serta Shakir Shaari akan diturunkan.

"Di barisan serangan mungkin saya akan meletakkan Safee Sali dan Mohd Amri Yahyah, namun semua bergantung kepada taktikal yang akan digunakan kerana kita mahukan tiga mata di laman sendiri," kata Gomez.

Berita Harian X