Jumaat, 12 Ogos 2016 | 4:01pm

Pasar Ternakan Hidup pertama dibuka


ORANG ramai melihat kambing yang dijual di Pasar Ternakan Hidup di Pusat Perkhidmatan Veterinar Manir. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA NERUS: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu (JPVNT) membuka Pasar Ternakan Hidup pertama untuk tujuan pemasaran ternakan dan produk ternakan.

Pengarah JPVNT, Dr Mohd Termizi Ghazali, berkata konsep yang diperkenalkan itu bukan saja yang pertama dilaksanakan di negeri ini, malah di negara ini.

Katanya, tujuan Pasar Ternakan Hidup itu dibuka bagi membantu penternak dan pengusaha memasarkan terus ternakan mereka kepada pelanggan.

"Kita memberi peluang dan pilihan kepada pembeli mendapatkan ternakan hidup seperti lembu, kambing, ayam, itik dan haiwan ternakan yang dibawa terus dari ladang dengan harga dan kualiti kompetitif.

"Pasar ini terbuka kepada pengusaha yang terbabit dalam industri penternakan di negeri ini dan beroperasi setiap Jumaat dan Sabtu setiap minggu," katanya selepas majlis pembukaan Pasar Ternakan Hidup di pekarangan Pusat Perkhidmatan Veterinar Manir, di sini, hari ini.

Pasar itu diwujudkan hasil kerjasama JPVNT dengan Persatuan Penternak Kambing Terengganu, Persatuan Penternak Ruminan Negeri Terengganu dan Persatuan Penternak Unggas Negeri Terengganu.

Mohd Termizi berkata, pihaknya juga bercadang membuka konsep pasar yang sama di Kerteh, Kemaman dan Kuala Besut, Besut tahun ini.

Beliau berharap dengan adanya pasar itu, ia mampu membantu meningkatkan pendapatan penternak di negeri ini.

"Kita akan memastikan Pasar Ternakan Hidup ini mampu menjana pendapatan lumayan kepada penternak dan menyasarkan RM50,000 setiap hasil jualan," katanya.

Berita Harian X