Jumaat, 12 Ogos 2016 | 12:06am

Infak bersih akhlak, rangsang perasaan kemanusiaan


ANTARA murid sekolah dibantu ibu mereka mencuba pakaian yang baru diterima daripada pihak yang menginfakkan sumbangan itu. - Gambar hiasan

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya) dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita" (Surah al-Baqarah, ayat 262)

Allah SWT mengingatkan hamba-Nya apabila menginfakkan harta yang mereka miliki, mesti dimulakan dengan keikhlasan dan akhlak yang baik dengan penerima.

Infak adalah pelaburan untuk dunia dan akhirat. Pelaburan sering diancam kerugian jika tidak diawasi dengan baik, dijaga dan dipelihara daripada tekanan nafsu membenci, menghina atau suka mengungkit-ungkit pemberian.

Kalimah infak terbahagi kepada dua iaitu infak wajib dan tidak wajib. Infak wajib termasuk zakat, bayaran kafarah, menunaikan nazar dan keperluan tanggungan wajib termasuk makan minum serta tempat tinggal untuk anak, isteri juga ibu bapa.

Infak tidak wajib

Infak yang tidak wajib termasuk derma kepada orang yang memerlukan, bersedekah atas nama kemanusiaan dan sebagainya.

Saad bin Abi Waqas menceritakan, Rasulullah SAW bersabda: "Nafkah (infak) yang kamu berikan semata-mata kerana Allah nescaya diberi pahala oleh Allah; bahkan apa yang kamu berikan untuk makanan isteri kamu (perbelanjaan rumah tangga) juga akan diberi pahala oleh Allah." (Riwayat al-Bukhari)

Pemilik harta yang bertindak sebagai pemberi digesa menghormati perasaan pihak penerima supaya jangan mengungkit-ungkit, menghina dan merendah-rendahkan kedudukan mereka. Al-Maraghiy dalam tafsirnya menyatakan, hikmah pemberian pahala dengan syarat untuk mencari keredaan-Nya.

Menolong agama

Ibnu Ashoor berpendapat, objektif syarak daripada infak ialah demi menolong agama bukan untuk kepentingan peribadi dan itulah darjat tertinggi infak yang dijanjikan Allah SWT. Ini kerana mungkin ada rasa kurang dalam kalangan penerima yang berasa dirinya rendah di hadapan pemberi.

Semuanya itu mungkin betul berlaku dalam masyarakat jahiliah tetapi Islam telah menghadapi isu ini dengan menanamkan di hati manusia bahawa harta itu harta Allah SWT dan segala rezeki pada tangan hartawan adalah rezeki Allah SWT.

Inilah satu hakikat yang tiada siapa mahu mempertikaikannya kecuali orang jahil yang tidak mengetahui punca rezeki yang jauh dan dekat. Seluruh punca rezeki adalah daripada limpah kurnia Allah SWT. Oleh itu, apabila yang berada memberi sedikit hartanya, sebenarnya ia adalah pinjaman kepada Allah SWT yang akan membalas dengan ganjaran berlipat kali ganda.

Penerima yang susah dan miskin hanya sebab sahaja untuk membolehkan pemberi menerima ganjaran berlipat kali ganda melalui infak yang telah diberikannya daripada harta Allah SWT itu.

Rangsang perasaan kemanusiaan

As-Syahid Sayyid Qutb dalam komentarnya pada ayat ini menyebut, Islam mahu infak itu dilakukan untuk tujuan membersihkan akhlak dan hati pemberi iaitu merangsangkan perasaan kemanusiaan. Ia juga mengingatkannya terhadap nikmat Allah SWT kepadanya dan janjinya menggunakan nikmat itu.

Perbuatan membangkit-bangkitkan pemberian adalah satu sifat amat dibenci yang lahir daripada perasaan hina dan rendah. Seseorang itu tidak membangkit-bangkitkan pemberiannya melainkan kerana dia ingin menunjukkan kelebihannya, menghinakan penerimanya atau ingin menarik perhatian orang ramai.

Di sini jelaslah tujuan pemberiannya kerana manusia kerana Allah SWT. Seluruh perasaan yang buruk itu tidak timbul dan tidak terlintas dalam hati mukmin yang sebenar. Oleh sebab itulah perbuatan membangkit-bangkitkan pemberian menyebabkan sedekah mendatangkan kemudaratan sama ada kepada pemberi atau penerima.

Ayat ini menjelaskan infak di jalan Allah SWT tidak diterima dan sekali gus tidak mendapat ganjaran yang istimewa apatah lagi pahala berganda jika pemberian diikuti dengan maki hamun dan kata-kata kesat yang melukakan perasaan penerima. Ia satu kerugian besar dan menghapuskan pahala yang sepatutnya diperoleh.

- Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X