Khamis, 11 Ogos 2016 | 10:18pm

Alya dilarikan dari tadika, bukan sesat - Polis

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dikenali sebagai Alya yang ditemui orang awam di kawasan USJ2 petang tadi, tidak sesat, sebaliknya dilarikan seorang individu dari tadika di Banting, Selangor.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata pihaknya sudah berjaya menghubungi ibu kanak-kanak malang terbabit untuk mengambilnya di Balai Polis USJ8.

Katanya, kes itu kini diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk siasatan lanjut.

"Kanak-kanak itu dilarikan dari Banting dan ditemui di Subang Jaya. Justeru, kes akan disiasat oleh IPD Kuala Langat," katanya.

Terdahulu, Alya yang memakai pakaian sukan Tabika Kemas itu ditemui orang awam kira-kira jam 3 petang ketika sedang berjalan sendirian di kawasan USJ2 dan dibawa ke Sekolah Kebangsaan Seafield sebelum diserahkan kepada polis.

Berita Harian X