Selasa, 18 November 2014 | 3:48pm

Mentor Legend bakal gegarkan TV3


PESERTA Mentor Legend yang diperkenalkan kepada umum menerusi Showcase Mentor Legend yang diadakan di One City Mall Sabtu lalu. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Seramai 12 peserta Mentor Legend sudah diperkenalkan kepada umum menerusi Showcase Mentor Legend yang diadakan di One City Mall Sabtu lalu.

Kini, tanggungjawab enam mentor tersohor tanah air bermula.

Mentor yang terbabit ialah Amy Search, Zainal Abidin, Ella, Ajai, Mas Idayu dan Dayang Nurfaizah. Mereka diberi peluang untuk memilih dua peserta terbaik menerusi uji bakat yang diadakan.

Pemilihan protege bagi setiap Mentor akan diadili oleh juri profesional pada minggu ketiga konsert Mentor Legend (episod lima). Daripada dua protege, Mentor hanya akan memilih seorang saja untuk berentap.

Showcase Mentor Legend yang diadakan mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila kira-kira 3,000 pengunjung membanjiri ruang legar pusat membeli-belah berkenaan sekalipun hujan pada hari itu.

Showcase ini turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar; wakil penaja bersama Mentor Legend, Pengarah Pembangunan Perniagaan, MCT Consortium Sdn Bhd, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Ketua Pegawai Operasi, Proton Edar Sdn Bhd, Daniel Tan Soo Liang dan wakil Hot FM selaku radio rasmi Mentor Legend,

Ketua Jenama & Promosi, Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Fara Aida Dahlan.

Penerbit Eksekutif Mentor Legend, Muhd Sufian Isa berkata, beliau mengakui sememangnya diakui agak sukar bagi mentor untuk memilih protege mereka.

"Tanggung jawab berat digalas oleh kesemua mentor untuk melatih dan mendidik dua peserta pilihan mereka dan nasib mereka akan ditentukan pada 30 November nanti. Cabaran yang bakal mereka tempuhi ini adalah mencabar bukan sahaja dari segi vokal dan persembahan, malahan kami juga menguji ketahanan mental mereka.

"Ini sedikit sebanyak memudahkan proses pemilihan protege terbaik untuk Mentor kita.

Sebagai cabaran pertama peserta Mentor Legend ini, peserta diberi tugasan untuk membuat persembahan di Showcase Mentor Legend di hadapan penonton di Pusat Beli Belah One City," katanya.

Sebelum 12 peserta membuat persembahan, pengunjung dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Amy Search, Zainal Abidin, Ella, Ajai, Mas Idayu dan Dayang Nurfaizah. Untuk memeriahkan lagi suasana showcase ini, enam rakan media dipilih untuk menjadi juri khas sepanjang Showcase Mentor Legend diadakan.

Program Mentor Legend yang diterbitkan sebanyak 13 episod ini diterajui oleh penerbit eksekutif Muhamad Sufian dan dibantu oleh Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) selaku penerbit.


MENTOR Legend diberi peluang untuk memilih dua protege terbaik menerusi uji bakat yang diadakan. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kali ini, Mentor Legend menampilkan Awal Ashaari sebagai pengacara program selain Shiha Mentor sebagai pengacara Jurnal Mentor Legend.

Selain itu, Zuan Azmi (Bikin Panas) bertindak sebagai pengacara bersama sewaktu konsert mingguan untuk mendapatkan kisah yang berlaku di sebalik tabir dan di belakang pentas. Musim ini turut mempersembahkan Faizal Uzir (Lok U) sebagai Pengarah Muzik, Azmeer sebagai Penasihat Vokal, dan Sazlan Mat Adnan sebagai Penasihat Persembahan.

Program Mentor Legend ini masih mengekalkan format permarkahan kepada 3 bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus melalui undian SMS dan 20 peratus daripada juri awam yang terdiri dari kalangan pelajar muzik, wartawan dan golongan semi profesional dalam industri muzik.

Mentor dan peserta bagi Mentor Legend ini akan menginap selama 13 minggu dan penginapan mereka ditaja sepenuhnya oleh E City Hotel di One City, USJ 25. Penaja bersama lain adalah Proton yang telah menyumbangkan sebuah Proton Iriz setiap seorang sebagai hadiah untuk Protege dan Mentor yang bergelar Juara nanti.

Juara juga akan mendapat wang tunai RM150,000 dan trofi dari pihak penganjur. Kedua-dua protege dan Mentor naib juara akan membawa pulang wang tunai RM100,000 serta trofi.

Ikuti konsert mingguan Mentor Legend yang disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada setiap hari Ahad jam 9 hingga 10.30 malam.

Penonton juga boleh menyaksikan sorotan persediaan dan aktiviti protege bersama mentor mereka melalui Jurnal Mentor Legend, setiap hari Ahad selama 30 minit bermula jam 6 petang.

Untuk menonton siaran ulangan setiap program Mentor Legend, boleh didapati melalui portal video tonton.com.my (www.tonton.com.my).

Program ini juga mendapat sokongan Hot FM selaku radio rasmi, dan peminat setia Mentor Legend boleh mendapatkan informasi Mentor Legend melalui frekuensi radio 97.6 di sekitar Lembah Klang.

Untuk mendapat maklumat lanjut, layari www.tv3.com.my/mentor legend serta akaun twitter rasmi TV3, @TV3Malaysia, akaun Facebook rasmi Mentor Legend, Facebook/MentorLegend, dan #MentorLegend.

Berita Harian X