Khamis, 11 Ogos 2016 | 5:24pm

Elavarasan lega Shahruain hidupkan peluang PKNS

Pemain PKNS FC, Shahruain Abu Samah (tengah) meraikan jaringan gol pertama PKNS bersama rakan dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Kemenangan 1-0 PKNS ke atas PDRM dalam aksi kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat malam tadi amat melegakan jurulatihnya, E Elavarasan dalam misi menghidupkan peluang layak ke suku akhir.

Ketika harapan hampir tertutup buat skuad Semut Merah melangkah lebih jauh di pentas piala berprestij terbabit, kemenangan yang dicipta berjaya melonjak skuad berkenaan ke tangga ketiga liga di belakang Perak dan PDRM.

Elavarasan berkata, jaringan awal menerusi Shahruain Abu Samah pada babak pertama itu mengembalikan sisa-sisa peluang menduduki dua tangga teratas untuk ke suku akhir.

Menurutnya, cabaran getir The Cops pada perlawanan itu jelas menjadi pemangkin anak buahnya untuk mencipta kejutan ke atas skuad berkenaan.

"Saya memuji persembahan pemain yang bijak mengatur pergerakan lebih tersusun walaupun diasak hebat lawan, sehingga mampu menghasilkan kemenangan.

"Bagaimanapun, baki perlawanan bertemu Johor Darul Ta'azim (JDT) dan Perak amat getir dengan hanya kemenangan ke atas kedua-dua pasukan itu sahaja mampu menjamin PKNS ke suku akhir," katanya.

Justeru, momentum kemenangan pertama di pentas Piala Malaysia itu diharap mampu menjadi milik pasukannya bermula pada aksi berdepan JDT Sabtu ini di Larkin.

Katanya, tidak mustahil pemain mampu mengejutkan kedua-dua pasukan terbabit dengan syarat fokus kepada aksi 90-minit mampu membuahkan hasil lumayan.

PKNS yang menduduki tangga ketiga liga dengan 4 mata hanya beza tiga mata dengan pendahulu dan pasukan tangga kedua kumpulan C, Perak dan PDRM (7 mata) manakala JDT di tangga keempat mengumpul 3 mata.

Berita Harian X