Khamis, 11 Ogos 2016 | 4:06pm

Pelajar perlu pelihara maruah diri


Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

GEORGETOWN: Golongan pelajar diminta peka dengan kepentingan memelihara maruah diri bagi memastikan mereka dapat menjadi masyarakat yang bertanggungjawab, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Titah baginda, maruah yang dimaksudkan ialah mempamerkan budi pekerti mulia dan tindak tanduk baik berdasarkan prinsip agama.

"Kita jelas dituntut agar sentiasa menjaga diri dan maruah sebagai individu Muslim atau bukan Muslim iaitu memelihara diri daripada perbuatan yang mencemarkan nama baik dan kehormatan diri serta keluarga.

"Masyarakat yang bermaruah ialah masyarakat yang memiliki jati diri dan berpegang teguh kepada ajaran agama serta tidak terpengaruh dengan unsur asing yang merosakkan diri sendiri," titah baginda.

Baginda bertitah ketika merasmikan Majlis Penutup Bengkel Ke Arah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) di sini, tengah hari tadi.

Berangkat sama pada majlis itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Pengerusi YTSP, bertitah dengan memelihara maruah diri, ia akan memberi impak positif dalam kehidupan serta melahirkan masyarakat sejahtera dan terhindar daripada perkara yang tidak diingini termasuk terdedah kepada perbuatan jenayah.

"Antara perkara yang perlu dijaga bagi memelihara maruah diri termasuk menjaga tatasusila dan menghormati antara satu sama lain.

"Percakapan juga antara perkara yang perlu dijaga iaitu bercakaplah perkara yang baik dan bermanfaat kepada diri, masyarakat dan negara serta mengelakkan bicara provokasi yang memberi implikasi buruk terhadap masyarakat," titah baginda.

Sementara itu, bengkel anjuran YTSP yang disertai 98 pelajar terbaik dan pengawas terpilih dari sekolah di Perlis bertujuan mewujudkan jalinan rapat antara raja dan pelajar, di samping membimbing pelajar menjadi pemimpin yang berkualiti di masa akan datang.

Berita Harian X