Khamis, 11 Ogos 2016 | 2:14pm
MAJLIS pertunangan Shalma pada 10 April lalu.

Shalma Ainaa nikah anak Ahli Parlimen K Kangsar 17 September


Bekas hos HLive, Shalma Ainaa bersama Wan Imar Mohammad Khair-il Anuar.

KUALA LUMPUR: Bekas hos HLive, Shalma Ainaa bakal melangsungkan pernikahan dengan penyanyi baharu, Wan Imar Mohammad Khair-il Anuar pada 17 September ini.

Majlis perkahwinan pasangan itu yang mengikat pertunangan pada 10 April lalu bakal diadakan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam dekat sini, bermula pernikahan pada sebelah pagi disusuli majlis resepsi pada malam keesokannya.

Shalma berkata, perkenalannya dengan anak Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohd Khair-il Anuar Wan Ahmad terjalin ketika mereka sama-sama menyambung pengajian di London kira-kira empat tahun lalu.

"Perancangan perkahwinan ini sudah kami lakukan sejak setahun lalu secara sedikit demi sedikit supaya tidak kelam kabut. Ikutkan majlis dirancang pada 2015 tetapi atas sebab tertentu ia terpaksa dianjakkan ke tahun ini.

"Diharap segala-gala urusan dipermudahkan. Saya bertuah apabila kedua-dua belah keluarga banyak membantu membuat persediaan termasuk bakal ibu mentua saya," katanya ketika ditemui BH Online, semalam.


Shalma rapat dengan keluarga bakal suaminya.

Wan Imar yang berpayung di bawah KRU Music adalah anak kedua Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid. Bapanya, meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

Pada masa sama, akui Shalma kehilangan lelaki yang sudah dianggap seperti bapa sendiri itu turut memberikan kesan terhadapnya memandangkan hubungan mereka agak rapat.

"Adik beradik Imar semuanya lelaki sekali gus membuatkan saya manja dengan arwah bapanya. Kehilangan arwah cukup menghibakan saya namun Imar saya lihat tabah menerima suratan takdir berbanding saya yang tiada pertalian darah dengan arwah.

"Biarpun arwah bapanya tidak dapat menyaksikan hari bahagia kami, beliau sempat menemani kami membeli barang hantaran ketika berada London, beberapa minggu selepas pertunangan kami.

"Paling mengharukan apabila beliau sanggup terbang ke London usai tugasannya di negara berhampiran semata-mata mahu membantu kami memilih barangan. Allahyarham sempat melihat kami bertunang," katanya yang kini mengendalikan program Motif Viral.

Berita Harian X