Khamis, 11 Ogos 2016 | 10:47am

1 maut, 2 cedera nahas lori rempuh treler

GOPENG: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lori tiga tan dan treler di Kilometer 310 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.35 pagi, pemandu lori tiga tan berusia 35 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua kelindannya berusia 20 dan 22 tahun cedera.

Seorang lagi pemandu treler berusia 25 tahun bagaimanapun tidak cedera.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat negeri berkata, sebuah jentera bomba dikerahkan ke lokasi sebaik menerima aduan berhubung kejadian itu.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati pemandu lori tiga tan dan kelindannya tersepit manakala seorang lagi kelindan dikeluarkan oleh awam.

"Pemandu yang tersepit itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian manakala dua lagi kelindan cedera," katanya di sini, hari ini.

Mangsa yang maut kemudiannya dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat manakala dua kelindan yang cedera dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan.

Berita Harian X