Khamis, 11 Ogos 2016 | 12:37am

Pegawai Imigresen, 2 warga Indonesia maut nahas


KEADAAN kenderaan mangsa selepas kemalangan di KM9 Jalan Bau-Lundu petang tadi.

BAU: Seorang pegawai Imigresen dan dua lelaki warga Indonesia maut dalam kemalangan di Kilometer 9, Jalan Bau-Lundu, berhampiran Kampung Sibuluh di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5 petang tadi, pemandu Perodua Alza yang juga pegawai Imigresen bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Biawak, Lundu, Weley Gikian, 40, dan dua penumpang warga Indonesia Isa Joni, 31 dan Mulyanto Sahri, 43 maut di lokasi kejadian.   

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Deputi Superintendan Alexson Naga, berkata kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia dan Perodua Alza.   

Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila Perodua Alza dipandu Weley bersama tiga penumpang warga Indonesia dari arah Lundu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah Perodua Axia.  

"Akibat rempuhan itu, Perodua Alza terbabas dan terbalik dalam gaung menyebabkan pemandu dan dua penumpang meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi penumpang cedera ringan.   

"Pemandu Perodua Axia, seorang lelaki dan seorang penumpang wanita dalam perjalanan ke Lundu juga hanya cedera ringan," katanya.   

Alexon berkata, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Aka Pengangkutan Jalan 1987.   

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Ebby Hirwandy Sarbini, berkata bomba mengambil masa selama satu jam 35 minit untuk mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit dalam Perodua Alza.

Berita Harian X