Khamis, 11 Ogos 2016 | 12:08am
MUHD Azim (kiri) bersama bapanya, Rosli Che Mat meneliti parang yang telah siap. - Foto Syamsi Suhaimi
GERGAJI khas yang direka sendiri untuk proses menebuk kayu untuk dijadikan sarung parang. - Foto Syamsi Suhaimi
MUHD Azim bersama bapanya, Rosli Che Mat, meneliti parang yang telah siap dihasilkan di tempat yang dibina di hadapan di rumahnya di Kampung Padang Lembik, Ketereh, Kota Bharu. - Foto Syamsi Suhaimi
BESI yang dipotong mengikut saiz perlu dibakar pada kepanasan 400 hingga 500 darjah celcius sebelum proses membentuk menggunakan tukul besi. - Foto Syamsi Suhaimi
BESI yang dipotong mengikut saiz perlu dibakar pada kepanasan 400 hingga 500 darjah celcius. - Foto Syamsi Suhaimi
MUHD Azim melakukan kerja-kerja menempa besi yang dibakar menggunakan tukul. - Foto Syamsi Suhaimi
MUHD Azim mula berminat dengan pembuatan pisau secara tradisional sejak berumur tujuh tahun kerana tertarik melihat ayah menghasilkan karya seni pisau yang dianggap sukar. - Foto Syamsi Suhaimi

Anak hasilkan mata pisau dan parang, ayah buat hulu


KOTA BHARU: Tidak ramai orang muda yang mahu membabitkan diri dalam bidang seni menempa pisau dan parang seperti dilakukan Muhd Azim Rosli.

Pemuda berusia 23 tahun itu tidak pernah mengikuti kursus menempa besi secara formal sebaliknya hanya belajar daripada bapanya, Rosli Che Mat, 52.

"Saya mula berminat dengan pembuatan pisau secara tradisional sejak berumur tujuh tahun kerana tertarik melihat ayah menghasilkan karya seni pisau yang dianggap sukar bagi sesetengah pihak," katanya ketika ditemui di bengkel rumahnya di Kampung Padang Lembek, Ketereh.

Muhd Azim lebih menumpukan seni tempa mata pisau dan parang manakala bapanya lebih kepada pembuatan sarung serta hulu pisau dan parang berkenaan.

"Antara alat pertukangan yang dihasilkan bersama ayah adalah dapur membakar besi, gergaji tebuk untuk menebuk serunai serta sampin (istilah bagi sarung pisau) dan kos bagi menghasilkan kesemua bahan berserta bengkel ini menelan belanja hampir RM15,000 dan ini 100 peratus menggunakan sumber kewangan daripada ayah," katanya.


MUHD Azim bersama bapanya, Rosli Che Mat, 52, menunjukkan besi penyerap hentakan kenderaan, mata ketam Wagner, besi kuari batu dan besi moden yang digunakan untuk pembuatan parang di rumahnya. - Foto Syamsi Suhaimi

Hasil kerja seninya itu, Muhd Azim mengiklankannya di laman sosial Facebook untuk dijual dan hasilnya anak muda itu mempunyai ramai pelanggan setia. Harga yang dijual dalam lingkungan RM50 hingga RM150.

Muhd Azim berkata hampir enam bulan diperlukan bagi menguasai teknik pembuatan mata pisau serta parang manakala setahun untuk mempelajari teknik mengukir kayu untuk dijadikan sebagai sarung.

"Hampir satu jam setengah diperlukan bagi menghasilkan sebilah mata pisau dan sehari saya mampu menghasilkan kira-kira tujuh bilah bergantung kepada saiz bilah berkenaan.

Untuk tempahan Aidiladha, saya menerima hampir 30 tempahan pisau serta parang berserta sarungnya dan kebanyakan dari pelanggan datang sendiri ke rumah ini bagi menempah pisau yang diinginkan," katanya.

Muhd Azim berkata antara mata pisau yang dihasilkan adalah jenis pisau untuk kegunaan melapah, sembelih, tetak tulang, serta ada senjata yang dihasilkan seperti kerambit, mata pedang serta badik.


ANTARA parang yang telah siap bersama sarung. - Foto Syamsi Suhaimi

"Besi yang menjadi pilihan adalah besi penyerap hentakan kenderaan, mata ketam Wagner, besi kuari batu dan besi moden yang diketahui mengandungi kandungan karbon serta baja besi yang tinggi," katanya.

Muhd Azim berkata bagi proses pembuatan mata pisau, besi perlu dipotong mengikut saiz yang dikehendaki kemudian dibakar pada kepanasan 400 hingga 500 darjah celcius.

"Masa yang diambil tidak menentu, bergantung kepada jenis besi dan besi berkenaan perlu ditempa menggunakan tukul supaya dapat dibentuk mengikut kehendak.

"Selepas itu proses penyejukan (sepuhan) yang dikenali jenis sepuhan air untuk kekalkan ketajaman bilah serta mengeraskan kembali partikel di dalam besi itu.

Sepuhan air perlu dilakukan secara berhati-hati kerana ia mampu menyebabkan pisau atau parang berkenaan retak.


MUHD Azim menunjukkan satu daripada parang yang dihasilkannya. - Foto Syamsi Suhaimi

"Selepas itu proses mengasah selama satu jam dijalankan dengan menggunakan tiga jenis batu asah yang berlainan gred," katanya.

Proses akhir pembuatan bilah ialah mengasah menggunakan kulit lembu bagi melakukan kemasan terakhir sebelum disapukan minyak  khas untuk senjata tajam.

"Tujuan mengasah menggunakan kulit lembu adalah untuk menghilangkan habuk besi yang terdapat pada bilah berkenaan," katanya.

Rosli pula berkata dia memilih kayu jenis bercorak atau berteras seperti Machang Hutan, Sepetir, Arang Bunga, Sena dan lain-lain kayu yang berkualiti tinggi bagi menghasilkan sarung serta hulu pisau atau parang.

"Proses dimulakan dengan melukis bentuk pisau yang bersesuaian di atas kayu memotongnya kepada bentuk kasar model berkenaan dan akan ditebuk menggunakan mesin penebuk serta gergaji yang direka sendiri khas untuk menebuk sarung berkenaan.

"Kemudian proses catuman menggunakan gam kayu serta menghaluskan permukaan sarung serta hulu dilakukan menggunakan mesin canai serta kertas pasir digunakan bagi menghalus serta melicinkan permukaan sarung sebelum disembur menggunakan semburan kemasan cat dan memerlukan masa sekurang-kurangnya lima jam untuk kering," katanya.

Rosli sangat mengalu-alukan jika ada pihak yang sudi menyampaikan bantuan seperti mesin hidraulik bagi mengembangkan lagi industri seni pembuatan pisau serta parang tradisional yang semakin pupus zaman sekarang.

338 dibaca
Berita Harian X