Selasa, 18 November 2014 | 12:40pm

Allergan terima tawaran pengambilalihan AS$66 bilion Actavist


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Actavis, Brenton Saunders (kiri) dan CEO Allergan, David Pyott di Bursa Saham New York. - Foto AP

NEW YORK: Allergan Inc, pengeluar botox menerima tawaran pengambilalihan AS$66 bilion (RM221 bilion) daripada Actavis Plc, sekali gus menamatkan gerak kerja tawaran agresif daripada aktivis pelabur William Ackman dan Valeant Pharmaceuticals International Inc.

Actavis yang berpangkalan di Dublin menawarkan AS$219 (RM733) sesaham, secara tunai dan saham yang jauh lebih tinggi daripada tawaran Valeant, sebuah firma Kanada.

Dengan itu, Valeant mengumumkan akan berundur daripada kempen membeli Allergan manakala Ackman tidak dapat dihubungi untuk mengulas berhubung pengumuman itu.

Saham Allergan naik 5.3 peratus untuk ditutup pada AS$209.20 (RM700.45) manakala Actavis naik 1.7 peratus kepada AS$247.94 (RM830.16) sesaham pada penutupan semalaman.

Allergan menolak tawaran tunai dan saham Valeant baru-baru ini bernilai AS$54 bilion, kerana dipercayai akan menjejaskan pemegang sahamnya apabila rekod syarikat Kanada itu sebelum ini yang selalunya memotong belanja penyelidikan dan pembangunan (R&D) firma yang diambil alihnya.

Sebaliknya tawaran daripada Actavis bukan saja memberikan nilaian Allergan yang lebih tinggi, malah hanya memotong AS$400 juta (RM1.3 bilion) belanja R&D berbanding potongan sebanyak AS$900 juta (RM3 bilion) yang dicadangkan Valeant, kata Allergan dalam satu kenyataan.

Tawaran daripada Actavist akan membolehkan kedua-dua syarikat menyepadukan operasi dan memastikan kajian Allergan berhubung kaedah rawatan glaukoma dan degenerasi makula dapat diteruskan.

"Tawaran Actavis memang lebih baik," kata penganalisis di Morningstar, Michael Waterhouse.

Pada April lalu, Ackman mengumumkan penguasaan 10 peratus kepentingan dalam Allergan dan merancang membuat bidaan mengambil alih syarikat itu bersama Valeant. Kini, walaupun tidak dapat meneruskan rancangan pengambilalihan itu, Ackman menerusi firma lindung nilai miliknya, Pershing Square akan mendapat untung AS$2.3 bilion (RM7.7 bilion) daripada pengambilalihan Allergan oleh Actavis.

Dana lindung nilai AS$18 bilion (RM60.3 bilion) itu sudah melabur hampir 30 peratus daripada modalnya dalam Allergan, yang mana harga sahamnya sudah meningkat hampir sekali ganda daripada AS$126.54 (RM423.68) yang dibayarnya awal tahun ini. - Reuters

14 dibaca
Berita Harian X