Rabu, 10 Ogos 2016 | 2:46pm

Guilherme azam aksi terbaik berdepan PKNS


PEMAIN PDRM, Guilherme De Paula Lucrecio. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Bekas import Selangor, Guilherme de Paula, yang kini beraksi bersama PDRM yakin skuad itu mampu mencipta kejayaan ke atas PKNS pada saingan Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Mengakui skuad The Red Ants memiliki barisan pemain yang mantap, dia tetap yakin jika The Cops mampu mempersembahkan aksi terbaik, sudah pasti mereka mampu meraih tiga mata.

Penyerang kelahiran Brazil yang menggantikan pemain dari Maldives, Ali Ashfaq itu juga mahu beraksi lebih berkesan pada perlawanan malam ini, dalam misi memburu jaringan kemenangan.

Menurutnya, dia dan rakan sepasukan beraksi kurang baik pada perlawanan Liga Super bertemu Pahang Sabtu lalu di gelanggang sama namun bernasib baik selepas meraih kemenangan tipis 1-0.

Penjaring gol kemenangan ke atas skuad Tok Gajah itu mengakui dia dan rakan mengakui sedikit keletihan akibat jadual padat namun tetap berusaha memberi aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

"Bagi saya sudah pasti mahu membawa pasukan ini ke pentas saingan suku akhir Piala Malaysia walaupun semua pasukan yang berada dalam kumpulan C, sangat hebat termasuk PKNS, Johor Darul Ta'azim (JDT) dan Perak.

"Apapun kami bertekad memberi yang terbaik dalam misi untuk kekal sebagai peneraju kumpulan ini dan mara ke suku akhir," katanya.

Sementara itu, jurulatih PDRM, Mohd Fauzi Pilus berkata, sentuhan Guilherme de Paula kian meyakinkan sambil mengharapkan pemain yang pernah beraksi dalam Liga Cyprus itu mampu lebih menyerlah.

Berita Harian X