Selasa, 18 November 2014 | 12:26pm
REAKSI bintang Portugal, Cristiano Ronaldo sejurus menjaringkan gol ketika perlawanan kelayakan Euro 2016 menentang Armenia, Sabtu lepas. Ronaldo kembali ke Old Trafford bagi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Argentina. - Foto Reuters

Ronaldo pemain 'hampir sempurna' - Carvalho

MANCHESTER: Ricardo Carvalho menggambarkan rakan sepasukannya, Cristiano Ronaldo sebagai 'hampir sempurna' menjelang pertemuan menarik Portugal dan Argentina pada aksi persahabatan di Old Trafford, awal pagi ini.

Pertembungan itu menyaksikan Ronaldo yang juga penyandang Ballon D'Or berdepan seteru utamanya, Lionel Messi yang juga pemenang anugerah sama empat kali menyaksikan fokus lebih tertumpu kepada kedua-duanya berbanding pertemuan terbabit.

"Adalah sesuatu yang normal dalam perlawanan ini bercakap mengenai Cristiano dan Messi namun saya fikir ia lebih kepada Portugal menentang Argentina," kata pertahanan Monaco, Carvalho.

"Bagi kami sebagai rakyat Portugal, semua orang menjangkakan Cristiano boleh memenangi gelaran ketiganya (Ballon D'Or).

"Saya mungkin agak berat sebelah namun saya fikir dia adalah yang terbaik. Kami semua amat bangga dengannya. Dia melakukan kerja yang hebat sepanjang enam atau tujuh tahun lepas. Dia meningkat dalam semua perkara yang kecil, menjaringkan banyak gol.

"Dia hampir sempurna, kuat, baik di udara, baik dengan kawalan kakinya dan sentiasa cergas. Sukar untuk berkata mengenai kelemahannya. Tiada sebarang alasan untuknya tidak memenanginya buat kali ketiga," katanya.

Mengulas perlawanan itu, Carvalhi berkata Portugal mengetahui tahap kesukaran menentang Argentina yang layak ke final Piala Dunia sebelum tewas kepada Jerman.

"Kami semua tahu betapa kuatnya Argentina. Mereka adalah finalis Piala Dunia. Mereka memiliki pemain yang mampu menentukan permainan dengan pantas. Kami hanya perlu memberi sepenuh tumpuan dan melakukan yang terbaik," katanya. - AFP

Berita Harian X