Rabu, 10 Ogos 2016 | 12:05am
MUHAMMAD Ilham terpaksa melalui pelbagai penderitaan selepas dibebani lima penyakit berbeza.
KEADAAN Muhammad Ilham yang mengalami penyakit Sindrom Charge sejak lahir dengan menggunakan alat bantuan pernafasan. - Foto Sharul Hafiz Zam
IDA Nurul Azwa Nayan, menemani anaknya Muhammad Ilham Nazeem Syarul Nizam, yang mengalami penyakit Sindrom Charge sejak lahir dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan. - Foto Sharul Hafiz Zam

Muhammad Ilham Nazeem derita lima penyakit kronik, perlu bantuan segera


KUALA NERANG: Ketika usianya baharu mencecah dua tahun, Muhammad Ilham Nazeem Syahrul Nizam, terpaksa melalui pelbagai penderitaan selepas dibebani lima penyakit berbeza.

Selain jantung berlubang dan jangkitan paru-paru yang dikesan ketika usianya empat bulan, kanak-kanak itu yang mesra dengan panggilan Ilham turut mengalami komplikasi lain termasuk anak matanya yang mengembang, alahan kulit dan kurang pendengaran pada telinga kanan.

Lebih menyedihkan, Ilham kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan dikenali BiPAP (Bilevel Positive Airway Pressure) untuk meneruskan hidup berikutan komplikasi kronik dihidapi.

Ibunya, Ida Nurul Azwa Nayan, 33, berkata Ilham lahir sebagai bayi normal dan penyakit dihidapinya hanya dikesan ketika usianya empat bulan, apabila anak bongsu daripada dua beradik itu demam dan batuk berterusan.

Ketika itu, katanya Ilham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, untuk mendapatkan rawatan, sebelum pihak hospital mengesahkannya mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

"Ilham ditahan di hospital selama sebulan, sebelum disahkan mengalami pelbagai komplikasi lain, sejak itu, saya dan suami, Syarul Nizam Ahmad, 39, terpaksa berulang alik membawa Ilham ke HSB, selain Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan dan pemeriksaan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perik, di sini, semalam.


IDA membetulkan alat pernafasan anaknya Muhammad Ilham Nazeem Syarul Nizam. - Foto Sharul Hafiz Zam

IDA menjaga anaknya Muhammad Ilham yang mengalami penyakit Sindrom Charge sejak lahir . - Foto Sharul Hafiz Zam

Beliau boleh dihubungi menerusi talian 019-4186264.

Ida berkata, sebelum ini dia bekerja sebagai pembantu kedai di Jitra dengan pendapatan RM600 sebulan, namun terpaksa berhenti kerana perlu menjaga anaknya yang memerlukan sepenuh perhatian.

"Ilham memerlukan penjagaan rapi, malah kami terpaksa membina sebuah bilik khas untuknya di rumah yang terhad lawatan untuk mengelak jangkitan kuman.

"Selepas berhenti kerja, kami sekeluarga kini bergantung sepenuhnya kepada suami yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Bukit Pinang di Alor Setar dengan gaji harian RM50, malah kerja suami juga terganggu kerana terpaksa memenuhi jadual rawatan Ilham, menyebabkan pendapatanya juga terjejas," katanya.

Ida berkata, walaupun menerima bantuan RM150 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM600 sebulan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), wang itu masih belum mencukupi untuk menampung keperluan terutama lampin pakai buang, susu, serta isian semula tabung oksigen yang jumlah keseluruhannya dianggarkan RM2,000 sebulan.

Mengenai mesin BiPAP digunakan, katanya ia dipinjamkan oleh HPP dan perlu dipulangkan semula dalam waktu terdekat, dan kini terpaksa memohon mendapatkan mesin sama daripada HSB.


MUHAMMAD Ilham Nazeem Syahrul Nizam sedang minum susu di Wad.

MUHAMMAD Ilham Nazeem Syahrul Nizam.

"Ilham memang perlu guna alat itu sepanjang masa, kalau alat itu tiada, dia akan alami masalah sehingga menyebabkan badannya menjadi kebiruan, bagaimanapun, kami perlu sediakan RM1,500 sebagai wang deposit untuk pinjam alat itu daripada HSB.

Pasangan itu juga memerlukan sebuah generator kerana bekalan elektrik kerap terputus di kawasan itu sekali gus menyebabkan operasi mesin pernafasan anaknya terganggu

Info:

BiPAP (Bilevel Positive Airway Pressure)

  • RM33,000 - harga seunit
  • Menggunakan kuasa elektrik/bateri
  • Biasa digunakan untuk pneumonia, chronic obstructive pulmonary disease (COPD) dan asma (lelah).

Berita Harian X