Selasa, 9 Ogos 2016 | 9:56pm

Pelancaran Bulan Kemerdekaan peringkat Pahang 20 Ogos


MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. - Foto Fariz Iswadi Ismail

KUANTAN: Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri akan diadakan pada 20 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa program, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, pelancaran itu akan dilakukan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob di Dewan Orang Ramai Gambang, dekat sini.

"Pelancaran ini adalah sebagai simbolik sahaja... kempen kibarkan Jalur Gemilang sudah bermula Sabtu lalu dan akan diteruskan sehingga 16 September ini bersempena sambutan Hari Malaysia.

"Paling penting ialah rakyat Pahang diminta bersama-sama menjayakan kempen kibar Jalur Gemilang selain menyertai pelbagai program yang akan dilakukan sebagai menzahirkan cintakan negara sepanjang sambutan bulan kemerdekaan ini.

"Pelbagai program dirancang di peringkat daerah...contohnya bagi daerah Maran kita mengadakan kayuhan kemerdekaan sejauh 42 kilometer yang akan disertai kira-kira 500 orang.

"Kita juga akan mengagihkan bendera Jalur Gemilang secara percuma kepada wakil agensi seperti Jabatan Kerajaan Negeri Pahang, Badan Berkanun Negeri Pahang, Pemimpin Masyarakat, NGO dan orang ramai di lokasi terpilih di negeri ini," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Shahaniza yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri berkata, pemilik premis perniagaan di seluruh daerah juga dinasihatkan memasang bendera Jalur Gemilang sebagai tanda penghargaan dan cintakan negara. 

Berita Harian X