Selasa, 9 Ogos 2016 | 9:52am

Dua remaja maut selepas 10 jam bertarung nyawa


Keadaan motosikal mangsa yang terbabas lalu merempuh kereta Perodua Viva dipandu seorang wanita di Jalan Feda Ketengah Jaya, Dungun, semalam. - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Selepas 10 jam bertarung nyawa, dua sahabat yang cedera parah dalam kemalangan di Jalan Felda Ketengah Jaya, di sini, petang semalam, meninggal dunia pagi ini.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3.30 petang semalam, kedua-dua mangsa, Muhammad Shaffiq Aiman Mohd Zaman, 15, dan Muhammad Hakimi Sabri, 15, cedera parah pada bahagian dalaman badan.

Muhammad Shaffiq Aiman yang menunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal kira-kira jam 1 pagi tadi, manakala rakannya Muhammad Hakimi yang membonceng, meninggal kira-kira jam 2.15 pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Nahas dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang Muhammad Shaffiq Aiman dipercayai terbabas lalu memasuki laluan kanan jalan.

Berikutan itu, motosikal terbabit merempuh sebuah kereta Perodua Viva dipandu seorang wanita berusia 30 tahun yang datang dari arah bertentangan.

Bagaimanapun, pemandu wanita berkenaan yang bekerja sebagai pengurus restoran tidak cedera.

Kedua-dua sahabat terbabit yang berasal dari Felda Kerteh 1, di sini, dikatakan dalam perjalanan ke rumah rakan mereka tidak jauh dari tempat kejadian.

Kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

222 dibaca
Berita Harian X