Selasa, 9 Ogos 2016 | 12:15am
PEMERIKSAAN urin rakyat Malaysia di KIK Bukit Kayu Hitam. - Foto NSTP
SEBAHAGIAN penagih yang ditahan dalam operasi AADK di sempadan Malaysia -Thailand di Bukit Kayu Hitam. - Foto NSTP
KEBANYAKAN kelab malam di Danok dikunjungi majoriti rakyat Malaysia yang turut mengambil dadah untuk berkhayal.
KEBANYAKAN kelab malam di Danok dikunjungi majoriti rakyat Malaysia yang turut mengambil dadah untuk berkhayal.

Pintu sempadan ke Thailand wajar ditutup awal


CHANGLUN: Setiap minggu, lebih 30,000 sebahagian besarnya rakyat negara ini, melintas sempadan Malaysia-Thailand menerusi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bukit Kayu Hitam di sini, selepas jam 6 petang.

Sepanjang minggu tinjauan pada 25 hingga 31 Julai lalu, seramai 16,703 orang direkodkan memasuki Thailand selepas jam 6 petang hingga 12 tengah malam, manakala 14,842 lagi memasuki negara ini sepanjang tempoh sama

Paling ramai memasuki Thailand selepas jam 6 petang, direkodkan pada Jumaat iaitu 4,649 orang, manakala Ahad merekodkan mereka yang masuk ke negara ini paling ramai iaitu 4,744 orang.

Kerajaan membenarkan urusan keluar masuk menerusi KIK Bukit Kayu Hitam dilanjutkan selama dua jam, daripada jam 10 malam hingga 12 tengah malam sejak Ogos 2001.

Kebanjiran rakyat Malaysia melintasi sempadan selepas 6 petang, menimbulkan persoalan kerana sebahagian besar premis niaga yang menjadi tumpuan orang ramai membeli belah di pekan Danok, Thailand, sudah ditutup.

Tinjauan BH dengan kerjasama sumber risikan, mendapati ramai rakyat negara ini yang melepasi sempadan memasuki Thailand, selepas jam 6 petang, terus menuju kelab malam dan pusat hiburan di sekitar pekan kecil terbabit.


PEGAWAI AADK merekodkan butir-butir mereka yang didapati positif dadah di Bukit Kayu Hitam. - Foto NSTP


KEBANYAKAN kelab malam di Danok dikunjungi majoriti rakyat Malaysia yang turut mengambil dadah untuk berkhayal.

BH meninjau beberapa pusat hiburan sekitar pekan terbabit, susulan maklumat ia menjadi lokasi warga Malaysia berhibur sambil mengambil dadah, kerana aktiviti penjualan bahan larangan itu berleluasa dalam kalangan pengunjungnya.

Cubaan wartawan BH mendapatkan dadah di situ nyata begitu mudah apabila pil kuda diperoleh daripada seorang pelayan wanita kelab malam yang dikunjungi pada harga RM50 sebiji.

Rakan yang menemani wartawan pula mendapatkan sebungkus ketamin pada harga RM100 daripada seorang pembekal warga Thailand yang berlegar di luar kelab malam.

Ada lebih 30 pusat hiburan dan kelab malam menjadi tumpuan warga Malaysia di sekitar pekan itu dengan sumber risikan mendedahkan hampir semua mereka mengambil dadah.

"Di sini, pil khayal dan ketamin mudah diperoleh dan menjadi tumpuan pengunjung dari Malaysia.

"Kebanyakan pengedar di Danok adalah orang Malaysia sendiri kerana rakyat Thailand jarang masuk kelab malam di sini. Dalang utama memang orang Thailand tetapi upah orang Malaysia bawa masuk dan edar dadah dalam kelab malam dan pusat karaoke," kata sumber yang rapat dengan risikan berkaitan dadah.

Sumber berkata, pembukaan sempadan sehingga jam 12 tengah malam juga antara sebab rakyat negara ini termasuk penjawat awam, khususnya yang bertugas berdekatan sempadan, mempunyai banyak masa untuk ke Danok.


KEBANYAKAN kelab malam di Danok dikunjungi majoriti rakyat Malaysia.


SEBAHAGIAN penagih yang ditahan dalam operasi oleh AADK di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam. - Foto NSTP

Katanya, mereka yang "ketagih hiburan' di Danok selalunya akan mula masuk ke pekan itu selepas jam 8 malam dan terus berada di di situ sehingga hampir tengah malam sebelum kembali ke Malaysia.

Hasil operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagaikan mengesah situasi terbabit apabila 20 rakyat negara ini dikesan positif dadah menerusi ujian kencing dalam tempoh dua jam mulai 7 hingga 9 pagi pada 30 Julai lalu.

Pengarah Pencegahan AADK, Abdul Rahman Hamid, berkata menjelang tengah malam hari sama, AADK menahan 20 lagi rakyat negara ini kerana positif dadah syabu dan ketamin, yang dipercayai diambil ketika berhibur di negara jiran.

Beliau berkata, antara yang ditahan termasuk tiga wanita dari Pulau Pinang dan tiga penjawat awam yang ditahan untuk siasatan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ada dalam kalangan mereka yang ditahan, mendakwa mengambil dadah bukan untuk berhibur di kelab malam, sebaliknya meningkatkan kekuatan seksual sepanjang malam ketika melanggan pelacur di pekan itu.

Sementara itu, pelbagai pihak mahu tempoh pembukaan sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam dipendekkan bagi mengekang pelbagai gejala negatif membabitkan rakyat negara ini.

Pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar, berkata tidak ada kewajaran pintu sempadan itu dibuka selepas jam 8 malam kerana semua aktiviti perniagaan sama ada di Malaysia dan Thailand sudah ditutup selepas jam 7 malam.


OPERASI oleh AADK di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam. - Foto NSTP

Katanya, dalam konteks ekonomi, ia tidak memberi manfaat kepada negara ini, sebaliknya pembukaan pintu masuk itu pada waktu malam umpama memberi akses kepada rakyat kita mendapatkan hiburan serta bekalan dadah dengan selesa dan mudah.

"Semua orang tahu apa yang ada di Danok. Di sana hiburan, wanita dan dadah dapat diperoleh dengan mudah. Apabila kita buka pintu sempadan pada waktu malam, ia umpama kita menghalalkan rakyat kita mendapatkan semua itu di sana.

"Jika pintu sempadan ditutup awal pun, tidak ada kesan kepada ekonomi negara kerana sedia maklum Kompleks Bebas Cukai pun ditutup awal. Justeru, tidak ada apa-apa kebaikan pintu itu dibuka sampai tengah malam," katanya kepada BH.

Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan, pula mencadangkan tempoh pembukaan pintu sempadan Malaysia-Thailand dipendekkan sehingga jam 7 malam iaitu selepas waktu aktiviti perniagaan di kedua-dua negara itu ditutup.

Katanya, tindakan itu perlu memandangkan kejadian jenayah dan permasalahan sempadan semakin berleluasa kebelakangan ini terutama membabitkan penyeludupan dadah dan senjata api.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din, berkata kecenderungan lelaki tempatan berhibur secara melampau di negara jiran boleh menyumbang kepada keretakan institusi keluarga sekali gus meningkatkan risiko perceraian membabitkan pasangan di Malaysia.

Mohamed Fadzil menyifatkan perkembangan itu bukan sahaja mengundang masalah penyakit sosial seperti HIV bahkan masalah keluarga.

71 dibaca
Berita Harian X