Isnin, 8 Ogos 2016 | 9:01pm

Manfaat tanah wakaf di PP untuk projek perumahan rakyat


SALAH sebuah blok pangsapuri kos sederhana rendah yang dibina untuk golongan fakir miskin dan asnaf di Jalan Teluk Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

BUTTERWORTH: Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPN) Pulau Pinang hari ini, mencadangkan supaya projek pembangunan perumahan kos rendah dan sederhana rendah di negeri ini dilaksanakan di atas tanah wakaf.

Pengerusinya, Datuk Seri Zainal Abidin Osman, berkata ia adalah langkah terbaik untuk mengatasi masalah kekurangan pembangunan rumah kos rendah di negeri ini.

Beliau berkata, kaedah itu sekali gus dapat membantu rakyat Pulau Pinang memiliki rumah dengan harga berpatutan.

"Terdapat banyak tanah wakaf di negeri ini khususnya yang boleh digunakan bagi memastikan rakyat di negeri ini berpeluang memiliki sebuah kediaman.

"Kerajaan negeri juga disaran untuk bersama-sama membantu memberi kelulusan pembinaan rumah kos rendah di atas tanah wakaf yang terdapat di negeri ini bagi memudahkan urusan membina perumahan rakyat," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek perumahan kos sederhana rendah di Teluk Air Tawar di sini, hari ini.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, projek perumahan kos sederhana rendah atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di Teluk Air Tawar itu dijangka siap pada awal tahun hadapan.

"Projek ini sudah siap sebanyak 50 peratus dan sememangnya sudah lewat kira-kira lima bulan daripada jadual asal.

"Bagaimanapun, ia diharapkan akan siap seperti dijadualkan dan memberi manfaat kepada penduduk tempatan yang berhasrat untuk membeli kediaman di sini," katanya.

Beliau berkata, MAINPP juga disaran menetapkan harga jualan bagi 152 unit rumah berkenaan dalam tempoh terdekat bagi memudahkan urusan penduduk yang berhasrat membeli rumah berkenaan.

Berita Harian X