Isnin, 17 November 2014 | 9:11pm

Syor ganti subsidi minyak dengan pemindahan tunai bersasar


Nor Mohamed (kiri) bersama Charon pada pelancaran laporan 'Keadaan Isi Rumah' di Kuala Lumpur. - Foto Azhar Ramli

KUALA LUMPUR: Subsidi minyak seharusnya digantikan secara berperingkat dengan pemindahan tunai bersasar untuk membantu golongan berpendapatan rendah, mengikut kajian 'Keadaan Isi Rumah' Institut Penyelidikan Khazanah.

Pengerusinya Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata pemindahan tunai bersasar adalah lebih baik berbanding subsidi bersasar, yang penerima manfaatnya mungkin termasuk penyeludup, perniagaan dan yang kaya.

"Subsidi perlu disasarkan kepada rakyat Malaysia yang benar-benar layak, dan mekanisme seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dapat membantu," katanya pada pelancaran hasil kajian itu di sini hari ini.

Kajian itu mendapati secara purata, setiap isi rumah menerima subsidi tahunan sebanyak RM625 setahun bagi elektrik dan RM885 setahun bagi minyak, bagaimanapun isi rumah berpendapatan tinggi menerima kira-kira 80 peratus daripada subsidi.

Laporan itu turut menyatakan bahawa subsidi regresif berikutan kebanyakan subsidi dinikmati perniagaan berbanding isi rumah.

"Daripada isi rumah, kumpulan berpendapatan tinggi mendapat manfaat yang paling banyak, isi rumah yang hanya mempunyai motosikal dan kipas siling menikmati subsidi yang jauh lebih rendah berbanding isi rumah yang mempunyai beberapa kereta dan pendingin hawa di Damansara Heights," katanya.

Ia mendapati nilai subsidi bagi 1,000 km ialah RM5 bagi sebuah motosikal Honda EX5 berbanding RM22.50 bagi sebuah kereta mewah BMW 318.

Pengarah Urusan institut itu Datuk Charon Mokhzani berkata walaupun produktiviti tenaga kerja meningkat, gaji tidak meningkat seiring dengannya.

"Ia adalah tanda kurangnya kuasa penawaran buruh berkemahiran rendah dan terlalu bergantung kepada kos rendah sebagai kelebihan daya saing.

"Sebanyak 30 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk gaji, manakala 67 peratus bagi keuntungan perniagaan," katanya.

Dalam pada itu, Nor Mohamed berkata, perniagaan Malaysia tidak memberikan gaji yang munasabah, sambil menambah pendidikan adalah cara terbaik untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

"Dalam dunia yang ideal, cara terbaik untuk memastikan keluarga dapat hidup dengan baik, dengan kualiti hidup yang mapan ialah dengan memastikan mereka mendapat gaji yang baik," katanya.

Dalam kalangan tenaga kerja Malaysia, 6.6 juta adalah pekerja berkemahiran rendah, 3.2 juta berkemahiran sederhana dan 2.5 juta berkemahiran tinggi, mengikut kajian itu. - BERNAMA

23 dibaca
Berita Harian X