Isnin, 8 Ogos 2016 | 12:11am

Beasley yakin Rocketpocketman akan gegar Rio


ATLET lumba basikal negara Mohd Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa selepas menjalani latihan ringan dan meninjau keadaan tempat pertandingan di Veledrom Olimpik Rio ketika temasya Sukan Olimpik Rio 2016 di sini hari ini.Azizul akan bersaing dalam acara keirin manakala Fatehah akan bersaing dalam acara pecut.- Foto BERNAMA

RIO DE JANEIRO: Jurulatih basikal negara, John Beasley menyuarakan keyakinan betapa anak emasnya, Azizulhasni Awang mampu menggegar Sukan Olimpik Rio 2016.

Menurutnya, persiapan Azizulhasni atau lebih dikenali dengan The Rocketpocketman kali ini lebih bagus berbanding London 2012.

"Azizulhasni kini sudah bersedia dan tidak sabar untuk berlumba. Namun, dia tidak boleh terlalu ghairah kerana fokus perlu diberikan pada pusingan awal perlumbaan terlebih dahulu.

"Jadi, kami perlu memastikan dia layak ke perlumbaan final sebelum memikirkan peluang memenangi pingat," katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Berdasarkan rekod, Rio 2016 adalah penampilan ketiga Azizulhasni selepas sekadar menduduki tempat ke-10 di Beijing 2008 dan keenam di London 2012.

Berita Harian X