Ahad, 7 Ogos 2016 | 4:04pm

300 sertai Rhythms of Kinabalu 2016


Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Kamarlin Ombi (empat dari kiri) mendengar penerangan daripada salah seorang peserta Kembara Karnival Kerjaya 2016, di Beaufort. -Foto Angkun Khidri

KOTA KINABALU: Lebih 300 orang dijangka menyertai Program Merakyatkan Seni Budaya, Rhythms of Kinabalu 2016, yang akan berlangsung di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah pada 9 dan 10 September ini. 

Konsert yang bermula jam 8 malam itu, mengetengahkan persembahan muzik tradisional yang unik dan berkualiti dengan menggunakan gabungan instrumen diperbuat daripada buluh seperti gitar serta muzik tradisional Sape dari Sarawak.

Buat julung kalinya juga, pertandingan Parade Musical akan diadakan sempena konsert itu bagi memberi ruang dan peluang kepada penggiat muzik tempatan khususnya belia di negeri ini.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin akan hadir sebagai tetamu kehormat konsert berkenaan.

Pengarah JKKN Sabah, Mohamd Raizuli Mat Jusoh, berkata program itu diadakan bagi menarik minat generasi masa kini dalam bidang seni muzik dan persembahan.

"Program seperti ini bertujuan menjadikan Sabah sebagai lokasi untuk menyemarakkan seni muzik tempatan yang bertaraf antarabangsa.  

"Konsert ini memberi peluang penggiat muzik tempatan berinteraksi antara satu sama lain termasuk meningkatkan apresiasi seni muzik yang mendalam di kalangan generasi muda," katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Sebanyak lapan kumpulan akan menyertai konsert itu antaranya Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Suara Buluh Perindu Kinabalu, PENTARAMA dari Jabatan Penerangan, Kumpulan Gabang Milan Menggalai Kinabatangan, Saksofon Bambu, Pemuzik Gong 9, Kumpulan Kuswari dan artis JKKN Sabah.

Beberapa artis kelahiran Sabah turut memeriahkan konsert berkenaan, antaranya Firman AF, Nera AF, Janrywine J Lusin dan pemuzik jemputan dari Sarawak iaitu Jerry Kamit (pemain muzik Sape).

Selain Parade Musical, acara lain turut diadakan sempena program itu antaranya bazar seni industri, pameran alat muzik tradisional Sabah dan bengkel asas orkestra muzik tradisional. 

Berita Harian X