Ahad, 7 Ogos 2016 | 12:00am

Karyaseni nafi trend adaptasi drama televisyen rosakkan industri buku


PENGARAH Urusan Karyaseni Sdn Bhd, Datuk Wan Mohd Muzri Ramli.

TREND penerbitan memperlihatkan banyak novel bahasa Melayu diadaptasi ke drama televisyen, sekali gus mendapat sambutan ramai.

Bagaimanapun, novel yang dihasilkan seolah-olah bergerak pada penceritaan dan latar seakan-akan sama. Wartawan Sastera&Budaya, Siti Haliza Yusop mewawancara Pengarah Urusan Karyaseni Sdn Bhd, Datuk Wan Mohd Muzri Ramli mengenai hal itu.

S: Adakah trend semasa baik untuk perkembangan karya kreatif tempatan untuk jangka masa panjang?

J: Novel diadaptasi ke drama atau filem perkembangan sihat dan positif apabila dilihat pada peningkatan jualan. Adaptasi ialah bonus kepada penulis dan penerbit kerana peningkatannya akan memberi pulangan kepada novelis apabila berjaya diulang cetak.

Justeru, ramai penulis Karyaseni dan Penulisan2u menggunakannya untuk penyelidikan atau berkunjung ke lokasi menarik bagi merasai suasana yang dikongsi dalam novel akan datang. Idea akan lebih segar dan suasana digambarkan dengan tepat.

Novelis seperti Umie Nadzimah, Sarah Marissa dan Melur Jelita menggunakan hasil royalti untuk membuat penyelidikan serta bekerjasama dengan pihak terbabit. Dalam The Unsung Hero & Yang Terunggul The One, penulisnya bekerjasama dengan Platun 69 Komando untuk merasai sendiri suasana dan mendapat cerita sebenar.

Adaptasi ialah promosi percuma di televisyen kerana membantu dalam menyebarkannya dengan lebih luas. Ia boleh menarik minat pembaca baharu kerana ramai penonton yang sebelumnya tidak membaca novel akan berbuat demikian selepas menontonnya. Ini membantu industri buku terus berkembang.

Persaingan novel untuk diadaptasi kian sengit, tetapi ia perkembangan sihat kerana mendorong penulis melahirkan novel terbaik dan mengikut kehendak pembaca serta penonton.

Menjawab persoalan banyak penceritaan dan latar seakan sama yang dianggap tidak baik dalam karya kreatif tempatan, penerbit mengambil berat pandangan itu. Justeru, pihak kami berusaha menerbitkan pelbagai karya dengan penceritaan dan latar berlainan bagi memberi pilihan serta perbezaan setiap karya diterbitkan.

Saya selalu berhubung, berbincang dan berkongsi idea dengan penulis untuk memberi sesuatu berbeza dalam setiap karya. Contohnya isu kahwin paksa, saya akan berbincang dengan mereka supaya mengelakkan isu sebegini, sebaliknya memberikan kelainan dan menyelitkan ilmu berguna serta bermanfaat kepada pembaca.

S: Ada yang melihat trend adaptasi seolah 'menyekat' perkembangan novel lain yang sebenarnya bagus, tetapi tidak berpeluang ke televisyen atau filem sehingga tercicir di kedai buku besar. Apa komen anda?

J: Saya tidak setuju apabila trend adaptasi dianggap menyekat novel lebih bagus untuk bersaing. Novel yang bagus, apabila dipromosi dengan berkesan akan memberi impak terbaik dalam hebahan kepada peminat. Promosi memainkan peranan penting dalam sesuatu hebahan produk yang bagus kerana akan mudah untuk dijual. Apa yang menarik dan bagus dalam novel, perlu dihebahkan secara bijaksana, dipromosi dengan pelbagai cara serta sekerap mungkin.

Contohnya dalam Anugerah Pilihan Pembaca POPULAR-BH 2016, enam novel dari Karyaseni dan Penulisan2u dicalonkan berdasarkan jualan tertinggi di POPULAR.

Daripada enam novel itu, empat judul ialah adaptasi, manakala dua lagi tidak diadaptasi. Bagaimanapun, novel yang tidak diadaptasi masih mampu mencatat jualan tinggi dan berjaya bersaing dengan novel yang diadaptasi.

Karya yang tidak diadaptasi, promosi yang lebih kuat perlu dilakukan untuk memberi hebahan terbaik kepada peminat novel yang menunggu karya untuk dimiliki.

S: Karyaseni aktif membuat adaptasi tetapi ada berbisik novelis tidak mendapat sebarang imbuhan meskipun adaptasinya menerima sambutan hangat sedangkan idea asal datangnya daripada penulis novel itu sendiri.

J: Setiap novel yang diadaptasi ke drama televisyen, lazimnya kami akan meminta wang sagu hati sebanyak RM3,000 daripada penerbit drama yang kebiasaannya akan terus dimasukkan ke akaun bank penulis. Kami sebagai penerbit novel tidak mengambil apa-apa bayaran kerana apabila ia diadaptasi, pastinya jualan meningkat yang menjadi keuntungan sebenar syarikat dan penulis.

Jika penulis tidak menerima bayaran atau lambat menerima bayaran, penulis biasanya akan memberitahu kami tentang masalah ini. Kami akan menghubungi penerbit drama untuk bertanya tentang bayaran.

Jika isu lambat bayaran daripada penerbit drama, kami akan dahulukan bayaran adaptasi kepada penulis. Seterusnya pihak Karyaseni akan membuat tuntutan bayaran kepada penerbit drama selepas itu.

Karyaseni mengambil berat kebajikan penulis dan membuat terbaik untuk penulis kami. Jika isu bayaran sagu hati novel adaptasi dari penerbit drama menjadi masalah utama, kami akan menilai semula perjanjian yang termeterai.

Berita Harian X