Sabtu, 6 Ogos 2016 | 10:33pm

Seorang maut, 2 cedera nahas lori dan treler


KEADAAN lori yang remuk selepas melanggar belakang treler di Bidor petang tadi.

BIDOR: Seorang lelaki maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan treler di Kilometer 349.7 Lebuhraya utara selatan arah selatan dekat sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, pemandu lori, Abdul Razak Abu Hassan, 52, maut di tempat kejadian manakala dua kelindan lori berkenaan yang tersepit mengalami kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Mohd Nadzir Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.51 petang dan tiba ke lokasi lima minit kemudian.

"Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan membabitkan sebuah lori yang membawa muatan beras yang dipercayai hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang sebuah treler.

"Akibat pertembungan itu, pemandu lori berkenaan maut di tempat kejadian manakala dua kelindannya yang tersepit dan mengalami kecederaan berjaya diselamatkan menggunakan peralatan menyelamat," katanya di sini malam ini.

Mohd Nadzir berkata, pemandu treler yang memandu berseorangan ditemui tidak mengalami kecederaan.

Mayat dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat manakala yang cedera menerima rawatan susulan di hospital sama.

Berita Harian X