Sabtu, 6 Ogos 2016 | 7:33am
ISABEL Salgado menjulang obor Olimpik di bawah patung Christ yang menghadap kota Rio serta Teluk Guanabara. - Foto Reuters

Olimpik: Obor temasya selamat tiba di Rio

RIO DE JANEIRO: Obor Olimpik mengharungi perjalanan terakhir dari patung ikonik Christ de Redeemer di Rio de Janeiro ke acara pembukaan temasya yang dibayangi bantahan anti-kerajaan.

Bintang-bintang samba, supermodel dan Putera Albert dari Monaco antara tokoh yang diberi penghargaan membawa obor berkenaan.

Selepas tujuh tahun persiapan untuk acara pembukaan yang sedang berlangsung di Stadium Maracana sekarang, penganjur berharap permulaan temasya itu akan lembaran baru terhadap publisiti buruk yang diterima Rio - dari jenayah, pencemaran air, perkampungan sukan yang belum siap sehingga kepada ancaman virus Zika.

Bekas pemain bola tampar wanita Brazil, Isabel Salgado menjulang obor berkenaan di bawah patung Christ yang menghadap kota Rio serta Teluk Guanabara.

Diiringi sorakan kumpulan pelancong tempatan dan asing, obor berkenaan dibawa merentasi pinggir pantai Rio menuju ke puncak gunung Sugar Loaf menggunakan kereta kabel.

Ribuan penunjuk perasaan yang membawa bendera, menghalang lalu lintas berhampiran pantai Copacabana, bagi menuntut peletakan jawatan Presiden Michel Temer.

Obor berkenaan melengkapkan perjalanan selama tiga bulan, membabitkan laluan sejauh 20,000 kilometer merentasi Brazil. - Reuters

Berita Harian X