Sabtu, 6 Ogos 2016 | 12:00am

Ikan bakar air asam NIBS, buat kecur liur


ADZRIL (kanan) mempamerkan menu pilihan ramai. - Foto Adi Safri

TAK kenal maka tak cinta. Ketika berkunjung ke Pulau Pinang baru-baru ini, berselerak restoran makanan laut di pusat bandarnya.

Tapi yang mana satu paling sedap dan memenuhi selera, kita tidak tahu. Akhirnya buat keputusan singgah di restoran makanan laut berdekatan hotel penginapan, kira-kira 10 minit dari Bukit Jambul, selepas tertarik melihat kehadiran pengunjung yang berpusu-pusu ke Nurul Ikan Bakar Special (NIBS).

Apa yang istimewa sangat? Jom! kita terjah, sedap tak sedap, itu cerita lain kerana yang penting hendak tahu mengapa orang ramai masuk ke restoran itu.

Justeru, selepas bertemu dengan penolong pengurus restoran, Adzril Hafiz, 30, beliau menyarankan beberapa hidangan istimewa dan wajib cuba apabila berkunjung ke NIBS.

Penulis berpeluang menikmati jenahak bakar, siakap merah tiga rasa, udang goreng mentega, sotong masak pedas dan ketam bunga goreng cili.


REMPAH-ratus yang diperap bersama ikan bakar menambahkan keenakannya. - Foto Adi Safri

Satu perkataan saja untuk menggambarkan kelazatannya, peergh! Memang tidak salah pilihan penulis untuk berkunjung ke NIBS menikmati hidangan makan malam istimewa. Rasanya jika berkunjung lagi ke Pulau Pinang, penulis akan singgah ke restoran ini.

Sebenarnya penulis sudah 'jatuh cinta' dengan kelazatan kuah sambal dan air asam yang dicicah bersama jenahak bakar. Sebelum ini sudah banyak kali penulis menikmati kuah sambal dan air asam di restoran makanan laut lain, tapi yang dihasilkan oleh Nurul Ikan Bakar Special sangat istimewa.

Justeru, barulah penulis faham kenapa nama restoran berkenaan Nurul Ikan Bakar Special.

"Kami menggunakan resipi turun-temurun daripada ibu, Jahleha Awang yang mula-mula mempelopori hidangan ikan bakar di kawasan Polis Marin ini.

"Ibu yang bakar ikan dan daripada air tangannya juga beliau menghasilkan air asam yang special itu. Begitu juga dengan rempah ratus yang digaul dan diperap bersama ikan, semuanya olahan dan ciptaan ibu," kata Adzril.


IKAN bakar cicah air asam istimewa buat mulut rasa terliur. - Foto Adi Safri

Dibuka sehingga malam

Adzril berkata, baginya rempah ratus dan air asam, adalah tarikan utama pengunjung bertandang ke NIBS, manakala ikan jenahak dan siakap pula mendapat permintaan paling banyak dari pelanggan.

Kira-kira 80 jenahak dan siakap, selain udang (10 kilogram) dan sotong (30 kilogram) terjual dalam sehari.

"Alhamdulillah, NIBS terus dipenuhi pelanggan hampir setiap malam. Ramai juga pengunjung yang datang dari Kuala Lumpur," katanya.


RESTORAN Nurul Ikan Bakar Special dibuka setiap hari. - Foto Adi Safri

INFO

Nurul Ikan Bakar Special

Alamat: No 4, Pangkalan Polis Marin, Batu Uban, Pulau Pinang

Telefon: 017 577 8302 (Nurul) dan 013 455 5430 (Adzril)

Facebook: Nurul Ikan Bakar Special

Waktu operasi: Setiap hari (jam 5 petang hingga jam 1 pagi)

Berita Harian X