Jumaat, 5 Ogos 2016 | 8:28pm

Lebih 15,000 banjiri Pameran MATTA Johor 2016


PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong (tengah) merasmikan Pameran MATTA 2016 di Ekspo Danga City Mall, Johor Bahru, hari ini. - Foto Nurul Amanina Suhaini

JOHOR BAHRU: Lebih 15,000 pengunjung dijangka mengunjungi Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor yang diadakan di Expo@Danga City Mall, selama tiga hari mulai hari ini.

Pameran yang menawarkan pelbagai pakej pelancongan dalam dan luar negara itu dijangka membawa pulangan jualan sehingga RM15 juta dengan membabitkan penyertaan lebih 49 syarikat pelancongan, hotel dan taman tema menerusi pelbagai pakej jualan dengan harga berpatutan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, berkata pameran yang membabitkan sebanyak 173 gerai itu diadakan dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan negara.

Katanya, sektor pelancongan Johor kini semakin pesat berkembang dan kini mempunyai syarat mencukupi bagi terus maju ke arah destinasi pelancongan serantau.

"Johor mencatatkan kadar peningkatan pelancong tertinggi di Malaysia pada tahun lalu iaitu sebanyak 8.20 peratus, termasuk jumlah agensi pelancongan di Johor yang menunjukkan peningkatan ketara.

"Pada tahun 2015, sebanyak 320 agensi pelancongan diluluskan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Johor dan jumlah ini sudah mencecah kepada 375 agensi sehingga Jun tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 55 agensi pelancongan sejak awal tahun ini.

"Antara penyumbang utama peningkatan kemasukan pelancong ini adalah kerjasama agensi pelancongan yang berperanan bagi mempromosikan Johor sebagai destinasi pelancongan terunggul di rantau ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran MATTA 2016 di Ekspo Danga City Mall, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MATTA, Datuk Hamzah Rahmat.

Dalam pada itu, Siew Kiong berkata, jumlah bas persiaran dan kereta sewa pandu juga menunjukkan peningkatan, sekali gus menunjukkan keberkesanan hasil usaha sama promosi pelancongan daripada semua pihak yang giat mempromosikan Johor.

"Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), jumlah bas persiaran menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 814 bas dicatatkan sehingga Februari lalu, manakala 789 tahun 2015 dan 698 pada tahun sebelumnya.

"Selain itu, bagi kereta sewa pandu pula, ia meningkat daripada 96 pada tahun 2014 kepada 117 pada tahun lalu, malah sehingga Februari lalu, jumlah itu meningkat kepada 128 kereta sewa pandu.

"Sehubungan itu, seiring dengan peredaran zaman, sektor pelancongan perlu sentiasa bersifat inovatif dan dinamik supaya perkhidmatan ini sentiasa memenuhi cita rasa pelancong," katanya.

Berita Harian X