Jumaat, 5 Ogos 2016 | 6:09pm

Usahawan siswa perlu cakna kewangan Islam

DALAM menyelusuri hidup dalam ekonomi yang serba menekan ini, mahu tidak mahu seseorang individu itu perlu melipatgandakan usaha untuk memastikan survival kehidupan.

Mahasiswa, antara golongan paling terkesan akan kenaikan harga barang, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan serta kenaikan kadar caj tambang pengangkutan awam yang rata-ratanya melebihi 50 peratus, memburukkan lagi keadaan.

Justeru, kini lebih ramai mahasiswa yang menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan sama ada secara terus atau sebagai orang tengah. Peningkatan pembabitan siswa secara konsisten dalam ruang perniagaan secara atas talian mahupun secara terus, dilihat sebagai perkembangan positif dan bertepatan dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (PPMPT) yang menitikberatkan usaha untuk melahirkan mahasiswa seimbang, holistik dan berciri keusahawanan.

Setiap aktiviti perniagaan dan keusahawanan yang dilakukan selari dengan ajaran Islam, dianggap sebagai sebahagian ibadah kepada Allah SWT. Semua jenis amalan yang dilaksanakan mengikut garis panduan dan ketetapan syariat Islam tergolong dalam amalan kebaikan dan akan menerima ganjaran daripada Allah SWT.

Justeru, semua aktiviti perniagaan dan keusahawanan yang dilakukan dan diceburi oleh mahasiswa seharusnya menepati garis panduan ditetapkan dalam syariat Islam sama seperti ibadah yang lain. Namun begitu, ketidakfahaman mengenai sistem kewangan Islam dalam pengurusan perniagaan mereka adalah amat membimbangkan.

Ini akan menyebabkan mahasiswa terdedah dengan unsur haram dalam perniagaan mereka. Tambahan pula, dalam memulakan sesebuah perniagaan, usahawan siswa akan berurusan dengan institusi perbankan atau agensi yang memberi modal. Justeru, amat penting untuk mahasiswa faham dan cakna mengenai sistem perbankan Islam dan konvensional bagi mengelakkan keterlibatan mahasiswa dalam unsur yang dilarang oleh syariat.

Sistem kewangan Islam

Sistem Kewangan Islam digariskan dalam al-Quran dan sunnah zaman Nabi Muhammad iaitu lebih 1,400 tahun lalu.

Sistem kewangan Islam dibentuk dengan beransur-ansur sejak zaman Rasulullah SAW lagi dan kini diperkukuh di negara kita dengan penubuhan institusi kewangan Islam yang pesat membangun.

Ada beberapa prinsip yang amat relevan dan menjadi asas penting bagi pembentukan sistem kewangan yang benar-benar berlandaskan syariat Islam. Ciri yang pertama ialah kewangan Islam terbina atas dasar tauhid.

Hanya dengan tauhid yang kukuh barulah seseorang itu sedar tanggungjawab terhadap dirinya dan terhadap Tuhannya. Dengan sendirinya, ia akan sedar bahawa ia bertanggungjawab dan akan disoal diatas segala aktivitinya. Perhubungan manusia dengan manusia lain akan menjadikan manusia itu sentiasa berwaspada dengan gerak-gerinya supaya tidak menyakiti orang lain dalam apa juga bentuk sekalipun.

Maka tauhid sebenarnya akan menjadi satu daya yang terbit dari dalam (inherent) dan tidak memerlukan pelaksanaan hukum ke peringkat maksimum.

Penekanan konsep harta

Prinsip kedua dalam sistem ini ialah penekanan mengenai konsep harta. Harta kekayaan dalam Islam perlu difahamkan dari dua segi iaitu satu dari segi pemilikan dan satu lagi dari segi kepentingan. Seperti sedia maklum, harta kekayaan itu adalah hak Allah SWT dan manusia ini telah dicipta oleh Allah SWT sebagai pemegang amanah kepada harta itu.

Pemilikan manusia terhadap harta itu adalah tidak mutlak. Sekiranya pemilikan harta oleh manusia ini adalah mutlak, maka manusia tidak lagi perlu mengumpulkan atau menggunakan harta mengikut cara ditetapkan oleh syariat Islam. Sebaliknya, manusia sebagai pemegang amanah kepada harta Allah tidak dapat lari daripada menurut segala perintah Allah dalam mengumpul dan menggunakan harta.

Harta yang dikumpul hendaklah dengan cara yang halal. Begitu juga penggunaannya hendaklah dengan cara halal dan boleh menimbulkan faedah kepada dirinya, keluarganya, masyarakatnya dan juga negaranya. Seseorang individu itu tidak boleh berbuat apa disukai, iaitu tidak boleh membazir atau membekukan wang tanpa dilaburkan. Ia juga tidak dibenar menggunakan kepada perkara bersubahat dan haram. Setiap unit harta yang diguna atau dikumpulkan itu menjadi tanggungjawabnya sehingga di akhirat. Ia akan dipersoalkan jika ia mensia-siakan harta itu.

Prinsip ketiga yang perlu dihayati ialah konsep tolong-menolong. Islam menetapkan bahawa setiap Muslim itu adalah bersaudara dan jika salah seorang dari saudara kita sakit atau dalam kesusahan, maka seluruh masyarakat Islam itu akan merasai sakit juga. Bertolak daripada konsep ini sebenarnya wujud pula satu lagi konsep yang amat penting iaitu orang Islam harus tolong-menolong antara satu sama lain.

Prinsip ini sebenarnya amat penting dan harus sentiasa diamalkan. Muslim tidaklah sepatutnya bersaing dan berlumba-lumba dalam segala perkara tanpa tujuan yang jelas dan tertentu. Persaingan sihat sememangnya digalakkan, tetapi persaingan sengit dalam mengumpul harta sehingga boleh membawa kepada keburukan seperti pembunuhan, kecurian, perompakan, penipuan dan kegiatan yang telah diharamkan dalam Islam. Atas dasar inilah prinsip tolong-menolong amat penting sekali.

Perlu diingatkan bahawa, segala perniagaan yang dijalankan perlulah bebas daripada segala larangan termasuk riba, gharar, ikhtikar, penindasan, penipuan, pembaziran dan sebagainya. Sehubungan itu, pemahaman mengenai perniagaan berteraskan kewangan Islam perlulah difahami dan dihayati semua mahasiswa sebelum menceburi bidang perniagaan. Hal ini penting untuk memastikan perniagaan yang diceburi tidak bercanggah dan selari dengan syariat Islam.

Pemahaman dan penghayatan ini perlulah secara menyeluruh dan barulah mampu untuk melahirkan usahawan siswa berjaya dan patuh syariat. Usahawan inilah yang kita harus lahirkan yang mana mereka bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, bahkan juga menggunakan potensi dimiliki untuk meningkatkan pendapatan negara yang pada akhirnya, menyumbang kepada kestabilan dan pertumbuhan pesat ekonomi negara.

Penulis ialah Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X