Jumaat, 5 Ogos 2016 | 1:28pm

Lelaki tunggang motosikal lawan arus trafik maut


MOHD Ramadhan parah dalam kemalangan di Jalan Seremban-Tampin dekat Kampung Baru Rasah, Seremban. - Foto ihsan pembaca

SEREMBAN: Seorang lelaki yang menunggang motosikal melawan arus trafik, maut selepas berlanggar dengan sebuah kereta di Jalan Seremban-Tampin dekat Kampung Baru Rasah di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, K Sangrapany, 55, dari Taman Desa Dahlia di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada badan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata ketika kejadian, kereta yang dipandu Wong Thiam Loy, 42, gagal mengelak motosikal yang ditunggang mangsa dan merempuhnya menyebabkan Sangrapany tercampak ke cermin hadapan kereta.

Pada masa sama, katanya, sebuah motosikal di belakang kereta yang ditunggang oleh Mohd Ramadhan Aziz, 19, terbabas ke kanan jalan.

"Mohd Ramadhan yang parah pada badan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, manakala Thiam Loy tidak cedera," katanya di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, mayat Sangrapany dibawa ke HTJ untuk bedah siasat, manakala kejadian disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

35 dibaca
Berita Harian X