Jumaat, 5 Ogos 2016 | 12:05am

Infak kaedah berkesan rapat jurang kaya, miskin


BANTUAN kenderaan untuk berniaga daripada pusat zakat membantu golongan asnaf keluar daripada kemiskinan.

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya kepada jalan Allah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Antara sebab al-Quran menerang dan memperjelaskan sesuatu perkara dengan membuat perumpamaan agar perkara itu melekat dalam ingatan bagi yang membaca dan mentadabbur al-Quran.

Di sini disebut perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah SWT sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai. Setiap tangkai pula mengandungi 100 biji. Allah SWT dengan kemurahan-Nya melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Ibnu Kathir berkata: "Inilah satu contoh Allah SWT berikan gandaan pahala kepada orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah SWT dengan tujuan mencapai keredaan-Nya. Setiap kebajikan diberikan ganjaran paling sedikit 10 kali ganda sehingga ke 700 kali ganda."

Allah SWT memberi pahala yang berlipat ganda kepada hamba yang dikehendaki-Nya. Sebahagian mereka diberikan 700 kali ganda dan sebahagian pula lebih besar bergantung pada keadaan pemberi bantuan. Jika diberi dengan ikhlas, halal dan suci sumbernya, mungkin diganda sehingga tidak terkira banyaknya.

Ibnu Ashoor berpendapat ganjaran berlipat ganda itu hanya diketahui Allah SWT kerana ia bergantung keadaan orang yang bersedekah, menerima sedekah, waktu dan tempat. Keikhlasan, mencintai dan mengutamakan orang lain juga penyebab ganjaran berlipat ganda.

Al-Wahidi meriwayatkan ayat ke-261 dan ke-262 Surah al-Baqarah ini diturunkan mengenai sedekah yang disumbang dua sahabat Nabi SAW. Mereka ialah Abdul Rahman 'Awf dan Uthman Affan untuk membiayai tabung perang Tabuk.

Walaupun diturunkan mengenai dua sahabat ini, ia tidak khusus kepada mereka sahaja, tetapi meliputi semua orang yang mengikuti jejak mereka dan mengorbankan harta di jalan Allah SWT.

Sistem ekonomi Islam memberi tumpuan kepada saling menolong dan takaful sosial yang diwujudkan dalam kewajipan seperti zakat dan sumbangan berbentuk sunat dan sukarela.

Tingkat taraf hidup

Islam dengan sistem ekonominya yang berasaskan infak dan membantu masyarakat bertujuan meningkatkan taraf hidup golongan miskin yang tidak mampu memenuhi keperluan asas kehidupan tanpa bergantung kepada bantuan orang lain untuk meningkat ke tahap lebih hampir dengan golongan yang berada.

Sistem infak ini juga bertujuan mendidik pemilik harta tidak sombong dengan kekayaannya yang begitu jauh meninggalkan orang miskin di belakang mereka.

Allah SWT tidak pernah membataskan rahmat dan pemberian-Nya. Dia Maha Mengetahui siapa yang berhak mendapat pahala berlipat ganda lantaran menegakkan kebenaran seperti mendermakan harta atau mendidik masyarakat agar melaksanakan tuntutan agamanya, sehingga dia berbahagia menjalani kehidupan di dunia dan akhirat.

Apabila derma itu menampakkan hasil dalam kehidupan masyarakat, mereka sebenarnya memperoleh faedah yang sebesar-besarnya dan turut menikmati kebaikannya.

Umat Islam perlu mengambil pengajaran daripada bukan Islam yang telah mencapai kemajuan kerana mendermakan harta demi kepentingan masyarakatnya. Hasil derma itu diguna untuk pengembangan ilmu pengetahuan dan pembentukan organisasi sosial yang menyelia serta mengawasi kepentingan umum.

Sudah menjadi hukum fitrah, manusia sering meniru sikap antara satu sama lain. Siapa yang mahu mengorbankan sesuatu demi kepentingan umum, maka dia akan menjadi teladan pengorbanan seperti itu.

Perintis usaha kebajikan

Kelebihan yang utama daripada menjadi perintis dalam mengusahakan kebaikan, ialah mereka menjadi orang yang meletak dasar amal kebaikan. Merekalah orang yang memperoleh keredaan Allah SWT dan pasti mendapat pahala ditambah pahala orang yang mengikut jejaknya.

Sabda Rasulullah SAW: "Siapa yang mengusahakan sesuatu pekerjaan (perbuatan) yang baik dalam Islam kemudian diikuti orang yang selepasnya, maka dia akan mendapat pahala sebanyak pahala orang yang mengerjakannya. Siapa yang mengusahakan sesuatu pekerjaan (perbuatan) yang buruk (dosa), maka dia akan mendapat dosanya dan dosa orang lain yang mengamalkannya sampai tibanya hari kiamat." (Riwayat at-Tarmizi dan Abu Daud)

Allah SWT yang menghidupkan kita juga yang menganugerahkan nikmat-Nya. Kita diminta memulangkan sedikit pemberian-Nya untuk dijadikan modal pelaburan akhirat yang kemudian akan diganti dengan keuntungan berlipat ganda.

Oleh sebab pemberian Allah SWT sangat luas, Dia tidak menghitung dengan kadar sedikit. Allah Maha Mengetahui maka segala urusan dan niat pemberi derma diketahui dengan mendalam dan pembalasan juga setimpal niat dan amalan mereka.

Ada kalanya, sedekah yang diberi tidak seberapa, tetapi dalam suasana penerimanya cemas dan terdesak. Allah SWT mengetahui suasana ini akan membalas berdasarkan suasana dan kesulitan yang dirasai.

Al-Quran memutuskan umat ini perlu menyusun satu bentuk kehidupan yang mapan. Mereka harus bersama menikmati kehidupan yang baik dan aman daripada gangguan terhadap diri, masyarakat serta tempat tinggal mereka.

Al-Quran menunjukkan jalannya iaitu membetulkan sistem pemilikan harta atau ekonomi yang berorientasikan tolong-menolong dengan setiap individu perlu menginfakkan harta bagi membantu saudara mereka yang seagama dan bermasalah. Bumi tempat kita tinggal dan semua harta kekayaan yang kita peroleh, semuanya milik Allah SWT.

  • Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources
Berita Harian X